Menterinya, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, kejayaan bidang pendidikan tinggi tempatan tidak wajar diperlekehkan dengan alasan yang sengaja direka semata-mata untuk memburukkan imej negara yang begitu komited membangunkan rakyat.

“Jika sedemikian rupa, bagaimana pula dengan kedudukan dan pencapaian yang diperoleh 10 universiti terbaik di dunia? Apakah kejayaan itu juga dibayar oleh Universiti Cambridge atau universiti-universiti lain yang disenaraikan?

“Peningkatan 11 anak tangga itu membuktikan kerajaan amat komited dalam membangunkan pendidikan tinggi dan pencapaian kita mengejutkan banyak pihak tetapi tidak disenangi oleh segelintir mereka yang sentiasa memandang negatif,” tegasnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menye­rahkan Rumah Komuniti Ke-174 kepada seorang ibu tunggal, Wan Rosliza Wan Nawawi di Kampung Tok Has dekat sini, hari ini.

Tahun lalu mencatat sejarah dalam sistem pendidikan tinggi negara yang meletakkan Malaysia pada kedudukan ke-25 hasil penarafan U21 yang diterbitkan oleh Institut Ekonomi Gunaan dan Penyelidikan Sosial Melbourne, Universiti Melbourne, Australia.

Pencapaian itu amat dibanggakan apabila negara melonjak 11 anak tangga dalam tempoh enam tahun berbanding kedudukan ke-36 pada 2013.

Idris memberitahu, lima universiti penyelidikan negara iaitu Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Teknologi Malaysia, Universiti Sains Malaysia dan Universiti Putra Malaysia turut disenaraikan dalam kalangan lapan universiti terbaik di Asia Tenggara.

“Memang hasrat dan sasaran kita untuk menjadikan UM mencapai kedudukan 100 universiti terbaik dunia dalam tempoh dua tahun dan rakyat perlu diberitahu pencapaian ini untuk membuktikan bahawa sistem pendidikan negara adalah antara yang terbaik di dunia,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, rakyat perlu membuka mata dan tidak mudah terpengaruh dengan propaganda dan pembohongan yang dibuat oleh pembangkang termasuk mengenai isu cukai barang dan perkhidmatan (GST) dan kenaikan harga barangan.

Ujarnya, GST dilaksanakan di 170 buah negara di dunia dan harga minyak negara pula merupakan antara yang termurah justeru rakyat perlu memahami keadaan sebenar, bukan menerima bulat-bulat berita yang disampaikan oleh pembangkang.