Shahrizat yang juga Penasihat Pembangunan Keusahawanan dan Ikhtisas Wanita berkata, Akta Hasutan bukan sahaja akan mempertahankan masyarakat Melayu tetapi juga melibatkan kaum lain di negara ini.

“Akta ini bukan sahaja mempertahankan hak orang Melayu tetapi juga hak-hak orang bukan Melayu. Jadi, kontrak sosial ini diterjemahkan dalam Perlembagaan yang merupakan satu bentuk jaminan kerajaan kepada rakyat.

“Oleh itu, saya ingatkan semua pihak agar tidak memandang serong kerana akta ini juga melibatkan kepentingan kaum lain termasuk orang Cina dan India,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Kali Pertama Koperasi Jaringan Melayu Malaysia Selangor Berhad (KJMSB) di sini hari ini.

Yang turut hadir, Presiden Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Azwanddin Hamzah dan Pengerusi KJMSB, Omar Saleh.

Sementara itu, beliau berkata, Pergerakan Wanita UMNO akan mengadakan mesyuarat khas secepat mungkin bagi membantu parti menarik lebih ramai pengundi baru menjelang pilihan raya umum akan datang.

“Kita akan mengadakan gerakan yang lebih agresif dan sistematik bagi membantu parti dapat menarik pengundi-pengundi baharu menjelang pilihan raya akan datang.

“Saya akui usaha kita agak sedikit lambat berbanding pembangkang, tetapi kita akan segera mengadakan gerakan secara agresif bagi membantu parti,” jelasnya.