Ahli Dewan Negara, Senator Khairul Azwan Harun berkata, bahasa Inggeris sangat penting untuk dikuasai terutamanya dalam kalangan pelajar sekolah dan universiti.

“Saya teringin melihat lebih ramai generasi muda yang mampu bertutur dalam bahasa Inggeris. Malah, hari ini kita ingin dengar dan kumpulkan segala permasalahan berkaitan dengan pengajaran bahasa berkenaan dari pelbagai pihak.

“Saya akan membawa segala idea, isu dan cadangan ke Dewan Negara serta dimaklumkan terus kepada Menteri Pendidikan tentang perkara berkenaan,” katanya dalam sesi dialog Transformasi Nasional 2050 (TN50): Cabaran dan Solusi Pendidikan Bahasa Inggeris di sini, hari ini.

Majlis yang dihadiri oleh kira-kira 100 orang mewakili pelbagai badan bukan kerajaan (NGO) serta orang awam melibatkan lima penyampai dari pelbagai latar belakang.

Dalam pada itu, personaliti televisyen, Ally Iskandar Mohd. Mardzi mencadangkan agar bahasa Inggeris dijadikan sebagai satu budaya dan tidak terhad kepada subjek pendidikan semata-mata.

“Saya berpendapat bahawa kita perlu mempraktikkan budaya popular seperti menganjurkan pertandingan menghasilkan lirik lagu popular ke dalam bahasa Inggeris supaya dapat menarik minat orang ramai,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE