Bekas Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman menegaskan, Wisma Putra memainkan peranan penting dalam menangani isu-isu rumit dunia diplomasi dan hasil rundingan di peringkat pegawai dibawa ke pertimbangan Menteri Luar Negeri sebelum diputuskan oleh Perdana Menteri. 

Sekiranya hasil rundingan gagal maka usaha-usaha lain akan dilaksana secara berhemah dan bijaksana dengan membawa isu berkaitan ke pengadilan atau tribunal antarabangsa.

"Singapura adalah salah satu rakan Malaysia yang sering menjadi sekutu yang rapat dalam memperjuangkan pendirian dalam isu-isu multilateral dan antarabangsa di mana Malaysia dan Singapura mempunyai nilai-nilai persamaan. 

"Nilai dan elemen seperti inilah yang perlu diambilkira dalam menjalinkan hubungan diplomatik yang sihat. Janganlah kerana keegoaan kita memusnahkan apa yang telah dibina selama ini," kata Anifah dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, negara jiran selama ini memuji kecekapan dan kebijaksanaan diplomasi yang ditonjolkan Malaysia. 

Kecekapan tersebut merupakan hasil rundingan dan usaha diplomatik disebalik tabir oleh pegawai-pegawai Wisma Putra yang bekerja tanpa mengira masa yang telah membuahkan kejayaan cemerlang bagi negara. - UTUSAN ONLINE