Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, sebagai pendidik, mereka perlu menghormati jawatan yang dipegang dengan menjaga keterbatasan terhadap parti yang disokong ke­rana segala tindakan mereka akan menjadi perhatian ibu bapa, para pelajar dan masyarakat setempat.

“Kita bukan tidak mengga­lak­kan guru-guru terlibat dalam politik kerana ini negara demokrasi, tetapi jangan terlalu menunjuk-nunjuk. Kalau dah ada jawatan (dalam parti), jangan terlalu me­nunjuk-nunjuk.

“Contohnya, jika seorang guru besar di satu kawasan tapi dalam masa sama dia berdiri atas pentas pembangkang dan memberikan ucapan (meluahkan rasa tidak puas hati pada kerajaan). Tidak ada ibu bapa yang nak anak-anak mereka menerima didikan daripada warga pendidik sebegini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Bangunan Sekolah Mene­ngah Kebangsaan (SMK) Serada, Banggol Chempedak di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Sains, Teknologi dan Transformasi Ke­rajaan negeri, A Latiff Awang dan Pengarah Pendidikan negeri, Shafruddin Ali Hussain.

Sekolah yang dijangka siap dalam masa dua tahun itu dan mempunyai 18 bilik darjah, dibina atas tanah seluas 6.4 hektar dengan kos RM28 juta, mampu menampung 800 pelajar.

Mengulas persiapan Kementerian Pendidikan dalam pilihan raya umum akan datang, beliau berkata, pihaknya telah memastikan sekolah-sekolah yang terlibat sebagai pusat mengundi bersedia dengan proses tersebut.

“Kami sudah bersedia, kami telah kenal pasti sekolah yang akan jadi pusat mengundi di seluruh negara. Pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) juga sudah maklumkan kepada Pejabat Pendidikan Daerah tentang sekolah-sekolah terlibat.

“Daripada 10,200 sekolah di seluruh negara boleh dikatakan hampir kesemua akan terlibat dalam proses pengundian nanti,” katanya.

Sementara itu ketika mengulas beberapa kes tindakan undang-undang yang diambil terhadap guru-guru oleh ibu bapa, beliau menasihatkan agar pihak sekolah dan ibu bapa sentiasa bermuafakat dalam menyelesaikan isu berkenaan. – BERNAMA