Mohd. Nassuruddin

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Pe­nerangan dan Hubungan Seranta negeri, Datuk Mohd. Nassuruddin Daud menegaskan, MCA, Gerakan dan DAP yang mempersoalkan mengenai hukuman tersebut tidak ada hak untuk berbicara berhubung hal ehwal Islam.

Katanya, mereka perlu membuat kajian terlebih dahulu mengenai Islam sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan.

“Undang-undang dan hukuman ini tidak ada kena mengena dengan mereka (bukan Islam). Tidak sepatutnya mereka memberi komen sedangkan mereka tidak memahaminya,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sebuah akhbar berbahasa Ing­geris hari ini melaporkan DAP, MCA dan Gerakan mengkritik langkah kerajaan Pas Kelantan akan me­laksanakan hukuman sebat di tempat terbuka selepas rang undang-undang mengenainya diluluskan dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) semalam.

Pengerusi Biro Keharmonian Agama MCA, Datuk Seri Ti Lian Ker dilaporkan berkata, Pas cuba mencari kepentingan politik bagi mendapatkan sokongan orang Islam dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) de­ngan melaksanakan undang-undang tersebut.

Dalam masa sama, Ahli DAP, Datuk Zaid Ibrahim dalam akhbar sama turut membidas Pas yang didakwa terdesak mengunakan imej Islam bagi mendapatkan kemenangan di Kelantan.

Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan sebelum itu sebulat suara meluluskan Rang Undang-­Undang (RUU) Enakmen Tatacara Jenayah Syariah 2002 (Pindaan 2017) yang membolehkan hukuman sebat terhadap pesalah dijalankan di tempat terbuka.

Mengulas lanjut, Mohd. Nassuruddin yang juga Ketua Pene­rangan Pas negeri berkata, Pas memperjuangkan hukum Islam sepanjang masa bukan hanya ketika ingin menghadapi pilihan raya.

Katanya, Kerajaan Pas Kelantan meletakkan syariat Islam le­bih daripada segala-galanya dan pelaksanaan hukuman tersebut sebenarnya dicadangkan sejak tahun 2015 lagi.

“Sejak tahun 2015, kita telah bermesyuarat lebih 14 kali melibatkan Hakim Syarie, mufti dan pakar undang-undang Islam. Adakah tahun 2015 itu dekat de­ngan pilihan raya?.” katanya.