MOHAMED SHAFIE BP MAMMAL
MOHAMED SHAFIE BP MAMMAL 

Presiden Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC), Datuk Moha­med Shafie BP Mammal berkata, syarikat sewajarnya mengkaji masalah kerugian yang berlaku sama ada disebabkan ketirisan atau faktor lain dan bukannya mengambil tindakan drastik dengan melakukan pembuangan pekerja.

Jelasnya, situasi itu sekali gus menggambarkan FGV dan Felda seolah-oleh mengalami krisis sehingga membuat perancangan masa depan secara bersendirian.

“Felda dan FGV tidak boleh dipisahkan kerana kedua-dua entiti itu saling memerlukan antara satu sama lain dan ibarat adik beradik.

“Namun, apabila dilihat hari ini seolah-olah FGV membuat perancangan sendiri serta mengasingkan dirinya sebagai sebahagian daripada Felda.

“Oleh itu, perancangan mengurangkan pekerja sewajarnya dikongsikan dalam konteks pelan perancangan pemulihan keseluruhan FGV yang bukan sahaja bergantung kepada cara tersebut semata-mata,” katanya ketika ditemui Utusan Online di Pejabat Bzbee Consult Sdn. Bhd., Kelana Jaya di sini hari ini.

FGV dalam kenyataan Jumaat lalu memaklumkan dalam proses membubarkan dua syarikat miliknya iaitu Felda Engineering Services Sdn Bhd (Felda Engineering) dan Felda Properties Sdn Bhd (Felda Properties) menjelang akhir tahun ini.

Ia sebagai sebahagian daripada program transformasi kumpulan bagi meningkatkan kecekapan, akauntabiliti dan keuntungan syarikat.

Tambah FGV, syarikat terbabit adalah perniagaan bukan terasnya yang mana daripada keseluruhan kira-kira 100 syarikat miliknya, hanya 93 syarikat aktif dan beroperasi, dengan sebahagiannya tidak menguntungkan atau diurus dengan baik.

Felda Engineering dan Felda Properties masing-masing diperbadankan pada 1994 dan 1995 bagi menyokong projek perumahan dan pembinaan Felda.

Melalui satu surat yang tular sejak minggu lalu juga memaklumkan kononnya seramai 135 kakitangan Felda Engineering dan Felda Properties akan kehilangan kerja selepas keputusan FGV untuk melakukan pembubaran dua syarikat tersebut. - UTUSAN ONLINE