Walaupun Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mengumumkan Insentif Pengeluaran Getah (IPG) dinaikkan kepada RM2.50 sekilogram iaitu peningkatan sebanyak 30 sen, namun respons masyarakat desa masih tidak banyak berubah.

Ikuti temubual ringkas, Presiden Persatuan Kebangsaan Pekebun-Pekebun Kecil Malaysia

ALIASAK AMBIA
ALIASAK AMBIA 

(PKPKM), DA TUK ALIASA K AMBIA bersama wartawan Utusan Malaysia, BADRUL HAFIZAN MAT ISA tentang keputusan terbaharu kerajaan tersebut.

UTUSAN: Apakah pandangan Datuk dengan pengumuman kerajaan menaikkan paras IPG kepada RM2.50 iaitu peningkatan sebanyak 30 sen?

ALIASAK: Secara peribadi, jumlah RM2.50 untuk IPG itu masih rendah dan tidak banyak membantu pekebun kecil namun saya telah diberikan kefahaman bahawa jumlah tersebut adalah munasabah sekiranya dilihat keadaan kewangan semasa negara. Saya setuju dengan alasan iaitu keadaan kewangan negara tidak berada dalam keadaan baik ketika ini. Namun diharapkan paras IPG dapat dikaji semula apabila keadaan ekonomi negara kembali pulih.

Bagaimana pula dengan maklum balas daripada pekebun kecil dengan peningkatan paras IPG ini?

Bagi pekebun kecil, pe­ngumuman tersebut memang memberi sedikit kelegaan. Buat sementara waktu mereka nampaknya menerima daripada tidak dapat langsung. Namun kerajaan perlu sedar bahawa harga komoditi getah terus me­nunjukkan penurunan sejak dua tahun lalu dan masih tidak menunjukkan tanda untuk pulih. Sebab itu, saya minta kerajaan mempertimbangkan langkah menetapkan harga lantai getah.

Bagaimana pula Datuk melihat kejatuhan harga sawit ketika ini yang turut memberi kesan kepada pekebun kecil dan peneroka?

Benar, pekebun nampak amat terjejas sebab itu saya cadangkan kerajaan mempertimbangkan untuk meneruskan bantuan tanam semula kelapa sawit. Permintaan dunia hari ini terhadap minyak sawit adalah tinggi, jadi bagaimana kita mahu meme­nuhi permintaan berkenaan se­kiranya bantuan tersebut tidak diteruskan kerajaan.

Apakah langkah lain yang boleh diambil oleh kerajaan bagi membantu menstabil dan meningkatkan harga sawit di pasaran?

Kerajaan diharap dapat se­gera melaksanakan program penggunaan biodiesel B10 atau B20 yang pastinya membantu me­ningkatkan pengeluaran kelapa sawit. Sepatutnya perancangan untuk melaksanakannya telah bermula sejak 2011 namun sehingga ini masih belum berjalan. Jika kerajaan mahu melaksanakannya saya percaya ini akan memberi khabar yang baik buat pekebun kecil sawit.

Dalam pelbagai isu yang sedang didepani ketika ini, apakah harapan Datuk kepada kerajaan untuk membela nasib golongan pekebun kecil di negara ini?

Semasa pembentangan Belanjawan 2019 lalu, kerajaan dilihat seolah-olah meminggirkan nasib pekebun kecil. Alhamdulillah selepas beberapa pertemuan, ada juga berita gembira buat kami. Saya fikirkan kerajaan sudah lupa terus. Memang lega.

Namun sekiranya kerajaan kekal dengan keputusan untuk menamatkan sistem pemberian subsidi, saya harap itu tidak melibatkan input pertanian ke­rana menerusi pemberian subsidi seperti baja dan lain-lain itulah cara untuk membantu mening­katkan hasil dan pendapatan pekebun kecil.