Menurut DoF, ikan bandaraya didapati akan mengorek dasar sungai atau tebing yang menyebabkan kesan seperti air keruh, tebing sungai runtuh dan gangguan keseimbangan persekitaran akuatik.

Jelasnya, keadaan itu berlaku semasa ikan mencari makanan dan menjalani proses pembiakan.

"Ikan ini juga didapati memakan tumbuhan akuatik yang diperlukan bagi beberapa spesies ikan air tawar untuk habibat pembiakannya. Selain itu, ikan ini berperanan sebagai pemangsa kepada larva kan-ikan di habitat berkenaan dan pastinya akan menjejaskan kelestarian populasi ikan tempatan.

"Peningkatan populasi ikan ini juga memberi impak negatif kepada perikanan darat antaranya menjejaskan pendapatan nelayan sungai dengan penurunan stok ikan disebabkan oleh gangguan habibat dan pemangsaan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kenyataan DoF itu bagi mengulas laporan mengenai kebimbangan pencipta alam sekitar mengenai kehadiran spesies ikan bandaraya yang menjejaskan ekosistem sungai.

DoF memberitahu, beberapa laporan kebanjiran ikan bandaraya telah menyebabkan kerugian kepada nelayan sungai seperti kerosakan pukat, tambahan masa bagi membuang ikan semasa aktiviti tangkapan ikan dijalankan dan tambahan kos disebabkan usaha-usaha yang lain.

"Sehubungan itu, DoF mencadangkan pindaan Kaedah-kaedah Peraturan Perikanan (sungai) bagi mengelakkan keadaan yang berterusan dan bagi menjamin kelestarian sumber perikanan darat terpelihara," jelasnya. - UTUSAN ONLINE