Pensyarah Pusat Kajian Tinggi Islam, Sains dan Peradaban (CASIS), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Dr. Muhammad Zainiy Uthman berkata, mereka yang mungkin mewarisi bahan-bahan itu sewajarnya menyerahkan kepada pihak jabatan yang menguruskan soal mendokumentasi dan memulihara khazanah itu

Langkah itu juga akan membolehkan para ilmuan dan penyelidik membuat kajian untuk dimartabatkan agar bangsa tidak kehilangan sejarahnya.

“Sesiapa yang memiliki manuskrip lama perlu diserahkan kepada perpustakaan atau arkib kerana sumber itu amat penting.

“Kita tidak mahu situasi sama menimpa Batu Bersurat yang dijadikan alas kaki berulang, apabila hanya selepas ratusan tahun baharulah kepentingannya disedari masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas berucap dalam Siri Bicara Profesional ‘Batu Bersurat Terengganu : Melakar Sejarah, Simbol Peradaban’ di Dewan Besar, Wisma Darul Iman di sini hari ini.

Yang hadir sama Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Datuk Mohd Zubir Embong.; Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu, Wan Ismail Sahaimi Wan Omar; Timbalan Pengarah Muzium Negeri, Rashid Hamat dan Pengarah Kolej Al-Quran Terengganu, Prof. Madya Dr. Ahmad Bazli Shafie.

Bicara ilmu anjuran Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri bersama Institut Integriti dan Strategik Terengganu (TSIS) dan Lembaga Muzium negeri itu bertujuan memartabatkan Batu Bersurat dan maqasid syariah.

Menurut Muhammad Zainiy, terdapat negara yang menetapkan undang-undang melarang penjualan artifak bagi memastikan khazanah warisan tidak lenyap tanpa kawalan.

Sementara itu, Mohd. Zubir berkata, penemuan Batu Bersurat menjadi bukti yang negeri ini merupakan pusat peradaban Islam terawal daripada Melaka.

“Ini adalah bukti masyarakat Melayu Islam Terengganu sudah mendahului kemajuan dan saya percaya kita mampu untuk terus melakar sejarah baharu dalam membina peradaban bangsa,” katanya.-UTUSAN ONLINE