Mereka diminta supaya tidak melayan sebarang bentuk provokasi atau kekecohan yang mungkin sengaja dicetus pihak yang cemburu melihat perpaduan serta penyatuan orang Melayu dan Islam di negara ini.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dengan satu kenyataan juga berharap pihak beruasa memberi kerjasama menjaga keamanan perhimpunan itu.

Berikut adalah kenyataan penuh beliau:

1. Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah berbesar hati dan memandang tinggi pada sokongan serta semangat juang yang tinggi rakyat Malaysia yang bersatu padu untuk berhimpun beramai-ramai membantah Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) di Dataran Merdeka pada 8 Disember 2018  ini.

2. Solidariti tidak berbelah bagi menyokong padu perpaduan ummah dan masyarakat berbilang kaum yang julung-julung kali berlaku di negara ini merupakan tanda kesepakatan tulen serta kematangan dalam mendokong semangat Perlembagaan Persekutuan yang melindungi hak rakyat berbilang kaum secara adil, tanpa mendiskriminasi atau menzalimi mana-mana pihak. 


3. Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah juga mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak berkuasa DBKL dan PDRM yang telah membenarkan himpunan aman lagi bersejarah ini berlangsung di ibu negara sebagaimana yang dirancang pihak penganjur yang terdiri daripada badan-badan NGO yang diketuai UMMAH.

4. Justeru itu, kami menyeru kepada para peserta himpunan ini untuk memulakan langkah dengan niat yang murni, melafazkan “basmalah” (bismillahir rahmanir rahim) dan menjaga susila ketimuran serta adab kesopanan budaya Melayu yang menjadi amalan kita sejak zaman berzaman sebelum ini.

5. Perlu ditekankan bahawa himpunan yang dijangka akan disertai oleh ratusan ribu malah mungkin jutaan peserta ini juga tidak mustahil terdedah kepada tindakan sabotaj dan provokasi pihak tertentu yang sengaja mengambil kesempatan memburukkan dan menjejaskan imej himpunan kita nanti.

6. Justeru itu, Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah memohon agar semua peserta berhati-hati dengan sebarang kebarangkalian tindakan buruk tersebut dan tidak melayan provokasi atau kekecohan yang mungkin sengaja dicetus pihak yang cemburu melihat perpaduan serta penyatuan kita.

7. Kami juga amat berharap agar pihak berkuasa sudi memberi kerjasama erat dalam menjaga keamanan himpunan ini dan peka terhadap kemungkinan sabotaj dari pihak tertentu. Keyakinan kami kepada pihak berkuasa di negara ini tetap teguh dan tidak akan sesekali mengkhianati rakyat marhainis yang berhimpun dengan tujuan murni.

8. Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah mengucapkan selamat bersolidariti kepada seluruh rakyat Malaysia yang berhimpun di Dataran Merdeka. Setinggi tahniah juga diucapkan atas ketinggian semangat patriotisme demi mempertahankan maruah agama Islam, hak dan keharmonian pelbagai kaum dan pengekalan sebuah negara bangsa ini. - UTUSAN ONLINE