Menurut beliau, meskipun badan kehakiman terbuka kepada kritikan, namun keputusan mahkamah tidak harus sewenang-wenangnya dicabar oleh pihak tertentu mengikut fahaman politik masing-masing.

Tegas Raus, sebarang kritikan perlu dibuat mengikut proses yang sesuai berpandukan kepada pemahaman fakta yang tepat, isu yang ditimbulkan dan undang-undang yang diguna pakai.

Sehubungan itu, Ketua Hakim Negara berpendapat, pihak yang tidak berpuas hati dengan penghakiman mahkamah boleh menterjemahkannya melalui proses rayuan.

“Walaupun keputusan tidak memihak kepada mereka, peguam terutamanya perlu bersederhana dalam tindak balas, berhati-hati serta berbudi bahasa membuat kenyataan terhadap badan kehakiman terutamanya dalam debat dan perbincangan umum,’’ ujarnya.

Ketua Hakim Negara menyatakan demikian ketika menyampaikan ucaptama sempena majlis Pembukaan Tahun Kehakiman 2018 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

Tema tahun ini iaitu ­Mening­katkan Akses Keadilan Melalui Transformasi Kehakiman menggariskan lapan komponen bagi memastikan masyarakat boleh mengakses keadilan secara berkesan dalam tempoh yang ditetapkan serta kos munasabah.

Dalam ucapannya, Raus turut menyatakan, walaupun para hakim tidak sempurna dan terbuka untuk dikritik, kritikan yang kasar dan tidak berasas mengancam pentadbiran undang-undang dan melemahkan badan kehakiman.

Beliau turut berkata, kualiti penghakiman yang disampaikan bergantung kepada standard peng­hujahan dan penyelidikan yang dilakukan oleh para peguam.

Ujarnya, para peguam tidak seharusnya mengharapkan penghakiman yang berkualiti sedangkan hakim yang mendengar kes disogok dengan standard penghujahan lemah.

Dalam pada itu, Raus turut bertegas bahawa mahkamah tidak akan bertolak ansur lagi terhadap penangguhan kes dan permohonan bagi tujuan itu hanya dibenarkan bagi kes-kes dalam situasi luar biasa.

Ketika berucap, Ketua Hakim Negara turut menyatakan arah aliran pelupusan kes semakin memberangsangkan apabila hanya 961 rayuan sedang didengar di Mahkamah Persekutuan sehingga 31 Disember lalu.

Ujar beliau, jumlah itu melibatkan 39 rayuan (yang didaftarkan sebelum 2016), 193 rayuan (2016) dan 729 rayuan (2017) dan pihak­nya berhasrat untuk melupuskan semua rayuan itu pada tahun ini.

Selain itu kata Raus, setakat 31 Disember lalu, sebanyak 3,998 rayuan sedang didengar di Mahkamah Rayuan, manakala 4,615 kes jenayah serta 19,219 kes sivil sedang dibicarakan di Mahkamah Tinggi di seluruh negara.

Tambahnya, pelupusan kes di Mahkamah Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak yang ditubuhkan April tahun lalu turut membanggakan apabila daripada 357 kes yang didaftarkan, sebanyak 287 kes berjaya diselesaikan di antara Julai dan Disember tahun lalu.