Baginda bertitah, sesuatu fatwa itu bukan hanya dibuat atau ditentukan oleh mufti tetapi melalui Jawatankuasa Fatwa yang terdiri daripada alim ulama dan golongan profesional yang mahir dalam bidang masing-masing termasuk perundangan.

Titah baginda, perbincangan diadakan untuk menentukan sesuatu hukum setelah mengambil kira hukum-hukum dalam al-Quran, hadis dan kitab-kitab berkaitan.

“Sesuatu fatwa yang dibuat di negeri ini juga hanya akan menjadi sah setelah mendapat persetujuan dan perkenan beta.

“Sehubungan itu, umat Islam perlu yakin dengan penuh ikhlas, bersatu dan berpadu fikiran untuk memahami segala ajaran Islam dan ia perlulah mengatasi ideologi serta kepentingan politik,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika merasmikan Majlis Multaqa Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Seminar Kanun Jenayah Syariah di sini hari ini.

Yang turut hadir ialah Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali; Mufti Brunei, Datuk Awang Abdul Aziz Juned; Mufti Selangor, Datuk Mohd. Tamyes Abdul Wahid dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohammed Khusrin Munawi.

Sultan Sharafuddin turut menyeru semua pihak supaya memahami Perlembagaan Persekutuan, Enakmen Negeri dan perundangan lain yang mempunyai bidang kuasa masing-masing seperti undang-undang Islam.

Titah baginda, kefahaman sedemikian penting bagi mengelak timbulnya ancaman kepada keamanan, keharmonian dan keselamatan negara apabila melibatkan undang-undang dasar.

“Beta menyatakan demikian supaya tidak wujud sebarang pertelagahan dan perbalahan sesama umat Islam dalam pelaksanaan urusan agama sehingga maruah agama Islam jatuh dan dipertikai oleh pihak tidak bertanggungjawab.

“Beta berkenan menyeru orang Melayu Islam supaya bersatu padu dan menjaga kesucian agama serta mengeratkan lagi silaturahim agar Islam menjadi lebih kukuh serta tidak mudah dipermainkan,” titah baginda.