Dr. Nur Ilyani Mohamed Nawawi yang bertugas di Hospital Raja Perempuan Zainab II di sini, pada 6 Ogos lalu menulis surat tersebut mempersoalkan hak-hak yang dikatakan dituntut oleh golongan LGBT telah mendapat perhatian golongan netizen.

Ketua Dewan Muslimat Pas negeri, Siti Zailah Mohd. Yusof berkata, kelantangan Dr. Nur Ilyani menggusarkan pihak-pihak tertentu sehingga tindakan beliau telah diadukan kepada Biro Pengaduan Awam.

Beliau berkata, golongan tersebut juga menggesa agar penjawat awam itu dikenakan tindakan tatatertib oleh majikannya iaitu Kementerian Kesihatan.

“Kami menggesa kerajaan khususnya Kementerian Kesihatan agar tiada sebarang tindakan tatatertib mahupun apa-apa tindakan pentadbiran diambil ke atas beliau kerana kami percaya aduan tersebut tidak berasas dan merupakan satu usaha menyekat hak beliau untuk menyatakan pandangan secara terbuka.

“Sehubungan itu, kami menyatakan sokongan dan solidariti kami terhadap prinsip yang diperjuangkan oleh Dr. Nur Ilyani dan menyeru agar seluruh rakyat Malaysia dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berada pada prinsip yang sama turut menyatakan sokongan dan solidariti,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.