Ini kerana, Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan yang melakukan siasatan berkaitan isu pemecatan Mohd. Jan belum membuat keputusan rasmi berkaitan pertikaian tersebut.

Balai berkenaan melahirkan kebimbangan kerana sejak akhir-akhir ini pelbagai tuduhan dan tohmahan dibuat terhadap Mohd. Jan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab terutamanya di media sosial.

“Tuduhan itu mencapai kemuncaknya semalam apabila sebuah laman web mendakwa Mohd. Jan telah dilucutkan jawatan sebagai Undang Luak Johol Ke-14.

“Laman web itu juga mengheret Setiausaha Kerajaan Negeri dan Ketua Polis negeri dengan mendakwa kedua-dua pegawai kanan kerajaan ini kini merancang membawa Mohd. Jan keluar dari kediaman rasmi beliau di kompleks Balai Undang ini,” kata Balai Undang Luak Johol dalam sidang akhbar di balai berkenaan semalam.

Kenyataan bersama itu dibuat oleh para Dato Lembaga dan Buapak Yang Enam Luak berkenaan, antaranya Dato’ Baginda Tan Mas, Abdul Karim Mansor; Dato’ Jenang, Anuar Nordin dan Datuk Pawang, Mohd. Shari Abdul Razak.

Yang turut hadir, Mohd. Jan dan isteri, Tok Puan Khuzaimah Riduan serta Pensyarah Kanan, Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Perguruan Sultan Idris, Prof. Madya Datuk Paduka Dr. Mohd. Rosli Saludin.

Balai berkenaan menyifatkan perbuatan menyebarkan pelbagai tuduhan itu sebagai tidak menghormati Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan yang dipengerusikan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

Para Dato Lembaga dan Buapak Yang Enam Luak itu menegaskan, sejak krisis Undang Luak Johol tercetus pada 27 Mac lalu dan penubuhan jawatankuasa siasatan oleh Dewan Keadilan dan Undang, Mohd. Jan telah mengambil pendirian untuk berdiam diri bagi menghormati dan melancarkan proses siasatan yang dijalankan.