Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, peluang yang diberikan Majlis Amanah Rakyat (Mara) kepada mereka perlu digunakan sebaik mungkin dengan menjual produk asli pada harga murah dan berpatutan.

Kata beliau, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dan agensi berkaitan akan melakukan pemantauan di pusat sehenti berkenaan bagi memastikan setiap peniaga mematuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan.

“Saya sudah ingatkan mereka supaya jangan menjual barangan tiruan kerana berisiko dikenakan tindakan oleh KPDNKK. Peniaga perlulah menjual barang pada harga murah tetapi asli.

“Jika mereka gagal mematuhi syarat yang ditetapkan, terpulang pada mereka berdepan tindakan tegas daripada pihak berkuasa,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas sesi ramah mesra bersama pelajar Program Pengajian Tinggi Malaysia Jepun (MJHEP) di sini hari ini.

Ini merupakan perjumpaan sulung Ismail Sabri dengan pelajar-pelajar MJHEP sejak dilantik me­nerajui Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah yang baharu pada 29 Julai lalu.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif­ Yayasan Pelajaran Mara (YPM), Datuk Abdul Karim Mustafa dan dua timbalannya, Ahmad Adnan serta Shukri Shukor.

Dalam pada itu, Ismail Sabri memberitahu, Mara akan memastikan semua penyewa dan penjual di Mara Digital terdiri daripada kaum bumiputera.

“Peniaga tidak boleh upah warga asing. Kalau boleh kita mahu anak-anak bumiputera terlibat dalam perniagaan ini dan apa yang membanggakan, setakat ini 100 peratus yang terlibat adalah bumiputera,” ujarnya.