Atas sebab itu, Perdana Menteri menasihatkan rakyat supaya tidak mencontohinya kerana beliau hanya menyertai permainan ragbi ketika alam persekolahan dengan menyifatkan sukan tersebut tidak memerlukan sebarang kecekapan.

“Saya tak guna otak dan tubuh badan saya seperti yang saya nasihat orang lain, orang lain patut buat apa yang saya tak buat. Jangan ikut Dr. Mahathir, dia suruh orang bersukan, dia tak bersukan.

“Sejak sekolah lagi saya tidak main banyak sukan, yang saya tahu main adalah ragbi. Mengapa ragbi? Ragbi tidak perlu kecekapan pun, yang perlu kena berani, kepala hantuk kepala lain.

“Bukan nak masuk bola dalam gol sangat, cuma hendak berkelahi sama-sama sahaja. Itu sebab saya terlibat dengan ragbi,” katanya ketika berucap dalam Majlis Sambutan Hari Sukan Negara 2018 di Bandar Sukan Kuala Lumpur, Bukit Jalil, di sini hari ini.

Yang turut hadir, isterinya, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali dan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Dalam perkembangan sama, Dr. Mahathir membayangkan reka bentuk kapal terbang pada masa hadapan mempunyai ge­langgang futsal untuk dimanfaatkan penumpang yang berada dalam perjalanan panjang.

“Saya baca dalam surat khabar dari Singapura ke New York ambil masa 17 jam. Saya ingat supaya pesawat lebih besar pada masa akan datang supaya kita boleh buat futsal dalam kapal terbang,” katanya.

Sementara itu, beliau turut me­lahirkan hasrat untuk me­nyaksikan sukan bola sepak negara mencapai kegemilangan seperti suatu ketika dahulu yang pernah menewaskan pasukan Korea.

“Dulu Malaysia terkenal dengan kecekapan kita dalam Pestabola Merdeka. Orang Korea tidak pandai main bola sepak, kita saja yang pandai. Kita main bola sepak pakai but, mereka main berkaki ayam, tetapi sekarang yang berkaki ayam itu yang menjadi jaguh (bermain di Piala Dunia),” katanya.