Beliau secara sinis berkata, tidak sedarkah pemimpin terbabit bahawa merekalah yang menjuarai perhimpunan jalanan suatu ketika dahulu.

Tegas beliau, pemimpin terbabit tidak sepatutnya menasihatkan mereka yang ingin hadir ke perhimpunan untuk mempertahankan kesucian agama Islam itu.

“Saya ‘geli’ dengar apabila (pemimpin) nasihat supaya orang ramai tidak menyertai perhimpunan itu datangnya daripada Pakatan Harapan.

“Sedangkan dahulu, merekalah yang menjuarai perhimpunan seperti ini. Alasan yang diberikan kononnya membazir apabila menyertai perhimpunan dilihat tidak munasabah.

“Kita lihat pemimpin dahulu yang sanggup masuk penjara, ditahan ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri) dan tiba-tiba mereka ini cakap perhimpunan menghabiskan duit,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Baru-baru ini, Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar dilaporkan berkata, langkah penganjur meneruskan himpunan aman bagi meraikan kejayaan menolak ICERD sebenarnya lebih merugikan kerana perlu mengeluarkan belanja sendiri.

Kata Mahfuz, wang tersebut sepatutnya boleh digunakan untuk perbelanjaan dan pembiayaan sekolah anak-anak pada awal tahun depan.

Sementara itu, Hashim sekali lagi menyeru supaya umat Islam turun beramai-ramai menyertai perhimpunan pada Sabtu ini.

“Kita berkumpul sebarapa ramai yang boleh bagi memberi pengajaran kepada musuh yang hendak melagakan orang Islam.

“Orang Melayu ini ibarat sarang tebuan, sarang tebuan tidak ganggu orang tetapi kita jangan pergi jolok, jangan kacau nanti dia akan serang balik,” katanya. - UTUSAN ONLINE