Ketua Perkasa Bahagian Muar, Datuk Azaran Abd. Kadir berkata, perbuatan tersebut jelas menafikan hak pekerja beragama Islam dan tindakan tegas harus diambil terhadap majikan terbabit.

“Berikan pekerja kelonggaran dan jadual waktu untuk bersolat perlu dibuat bagi memudahkan mereka menunaikan ibadah itu. Jangan potong gaji mereka hanya kerana keluar sekejap untuk menunaikan solat.

“Islam adalah agama Persekutuan, majikan tidak boleh melarang pekerja beragama Islam untuk menunaikan solat,” katanya ditemui selepas mengadakan piket membantah larangan itu di pekarangan sebuah pasar raya di sini hari ini.

Terdahulu, beliau bersama kira-kira 30 ahli Perkasa Muar membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar pukul 10.30 pagi ini membantah tindakan pasar raya itu yang didakwa melarang pekerjanya mengerjakan solat.

Azaran berkata, masalah itu tidak pernah berbangkit sebelum ini dan berharap sikap toleransi antara agama dan hormat-menghormati melibatkan semua kaum dikekalkan kerana telah menjadi amalan hidup di negara ini.

Tegasnya, jika pihak berkenaan masih melarang dan menghalang pekerja berkenaan untuk bersolat, Perkasa akan mendesak kerajaan supaya tidak membenarkan pasar raya tersebut menyewa lagi di kawasan itu.

Sementara itu, jurucakap pentadbiran pasar raya berkenaan, Riduan Saari menafikan dakwaan tersebut sambil menyatakan sejak dia bekerja di situ kira-kira 18 tahun lalu, isu pekerja mahu bersolat tidak pernah timbul.

“Pihak pentadbiran membenarkan pekerjanya yang beragama Islam menunaikan solat termasuk solat Jumaat. Kita bagi 15 minit untuk solat di surau berdekatan. Kita ambil berat kerana ini isu agama dan sensitif,” katanya.

Bagaimanapun, pihak pengurusan sedia menyiasat dakwaan tersebut supaya segala kekeliruan yang timbul dapat diselesaikan dengan baik.