MOHD. NOR MONUTTY

Pengerusi Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama (Bippa) PKR, Datuk Dr. Mohd. Nor Monutty berkata, hal ini kerana junju­ngan besar, Nabi Muhammad SAW pernah bersabda bahawa berhati-hati itu datangnya daripada Allah SWT dan bergopoh-gapah itu datangnya daripada syaitan.

“Barangkali kita wajar merujuk kepada satu pedoman yang telah ditunjukkan oleh Khalifah Umar Abdul Aziz iaitu khalifah Islam yang kelima.

“Beliau menegur anaknya jangan gopoh dalam menjatuhkan hukuman kerana keperluan waktu itu adalah untuk menjaga keamanan dan keselamatan negara. Seruan ini Bippa tujukan kepada semua kelompok dan aliran pemikiran termasuk pejuang hak asasi manusia,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mohd. Nor berkata, secara dasarnya, Bippa bersetuju de­ngan beberapa pandangan tentang kewajaran semua pihak menghormati keputusan mahkamah sya­riah di Terengganu berhubung hukuman sebatan terhadap dua wanita yang didapati bersalah cuba melakukan hubungan sejenis.

Jelasnya, masyarakat mesti mengetahui bahawa hukuman itu adalah hukum takzir iaitu bergantung kepada budi bicara pihak berkuasa syariah negeri berdasarkan kes dan realiti.

Oleh itu, ujar beliau, semua pihak wajar menghormati keputusan tersebut.

“Bippa memandang serius tentang amalan berleluasa salah laku seks seperti yang dibicarakan di atas.

“Bersandarkan kepada sirah Nabi SAW, tugas mendidik dan mengembalikan kelompok ini kepada fitrah perlu diberi keutamaan seperti huraian Sheikh Yusuf al-Qaradawi dalam Fiqh al-Awlawiyat,” katanya.