Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, mereka mungkin akan mendengar khabar-khabar angin dalam media-media sosial berhubung sesuatu perkara.

“Kalau berlaku situasi seperti itu, kita berharap mereka akan mendapat kepastian atau pengesahan daripada pejabat Tabung Haji sama ada di sini mahupun Madinah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada wartawan Malaysia selepas menyambut ketibaan kumpulan pertama jemaah haji yang menaiki penerbangan terus dari Kuala Lumpur ke Jeddah sebelum memasuki Mekah.

Syed Saleh berkata, melalui langkah mendapat pengesahan tersebut akan membolehkan jemaah menumpukan perhatian kepada ibadah haji mereka.

“Itulah tujuan utama mereka datang ke tanah suci dan ini mungkin peluang sekali dalam seumur hidup untuk melaksanakan ibadah tersebut,” katanya.

Beliau berharap, mereka akan berusaha melengkapkan ilmu bagi melaksanakan ibadah haji dan umrah.

“Masa mereka masih lagi ada (menjelang hari wukuf) bagi mendapatkan kepastian dan tunjuk ajar berhubung kedua-dua ibadah itu melalui pembimbing ibadah Tabung Haji,” katanya.

Syed Saleh turut menasihatkan jemaah haji supaya tidak bimbang mengenai masalah pertukaran Ringgit Malaysia (RM) ke Saudi Riyal (SR) sepanjang ber­ada di tanah suci.

Ini memandangkan kata beliau, kaunter kewangan Tabung Haji di tanah suci menyediakan mata wang SR apabila mereka melakukan pengeluaran melalui akaun Tabung Haji mereka.

“Kalau mereka bawa ringgit Malaysia mereka boleh menukarnya di premis pengurup-pe­ngurup wang,” katanya.

Beliau berkata, setakat ini sebanyak 26 penerbangan khas membawa jemaah haji sudah tiba di Arab Saudi manakala 21 lagi penerbangan akan sampai secara berperingkat-peringkat sehingga 4 September ini.

Beliau berkata, secara keseluruhan sehingga hari ini jumlah jemaah haji Malaysia yang berada di Arab Saudi ialah 11,934 orang.

Daripada jumlah itu, kata Syed Saleh, 7,318 orang berada di Mekah manakala di Madinah 4,616 orang. – UTUSAN