Perdana Menteri berkata, amalan kreatif dan inovatif adalah mekanisme diperlukan untuk mencapai peningkatan dalam tugas serta melonjakkan perkhidmatan awam.

“Jangan terima lebih kurang, saya tak nak dengar perkataan lebih kurang, okay. Itu tidak boleh. Kita mesti berusaha me­lebihi had, jika kita boleh melaksanakan sesuatu perkara secara kolektif, output (hasil) mesti lebih besar dan bermakna.

“Contohnya kita telah ada UTC (Pusat Transformasi Bandar), adakah di dunia boleh sediakan perkhidmatan macam ini. Hebatnya UTC ini, produktiviti semakin bertambah. Ini kerana wujud persaingan antara agensi dalam memberikan perkhidmatan terbaik.

“Di luar negara, Uber (perkhidmatan awam kereta), bermula dengan dua buah kereta di Francisco, tetapi hari ini Uber sediakan tiga juta kereta dari 66 buah negara dan mencapai perolehan sebanyak AS$62 bilion. Inilah kreatif dan inovatif yang dimaksudkan,” katanya.

Beliau berucap pada majlis pembukaan sesi dialog Transformasi Nasional 2050 (TN50) bersama kira-kira 1,300 penjawat awam di Kementerian Kewangan di sini hari ini.

Sesi dialog berlangsung hampir dua jam itu menampilkan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa sebagai moderator yang turut dihadiri Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Zainal Rahim Seman.

Najib seterusnya berkata, sebagai penjawat awam selain menyokong dasar kerajaan, mereka perlu melihat aspek untuk menjalin kerjasama de­ngan bahagian-bahagian lain menerusi pandangan yang lebih meluas.

“Sebagai contoh dalam kerajaan ada banyak tabung, tabung itu tabung ini, jadi kita hendak satukan semuanya untuk kebaikan negara supaya dapat diuruskan dana rakyat dengan lebih berkesan,” katanya.

Dalam pada itu, Perdana Menteri turut mengulas me­ngenai aspirasi penjawat awam terhadap waktu kerja anjal de­ngan melihat perkara itu boleh diperluaskan, namun memerlukan kaedah yang tepat dan bersesuaian untuk tempoh 30 tahun akan datang.

“Dalam merancang perkhid­matan awam 30 tahun akan datang, banyak yang perlu kita fikirkan, adakah kemahiran yang diperlukan, adakah per­ubahan cara berfikir yang diperlukan atau adakah perlu wujudkan karier yang baharu.

“Memang kita tidak tahu, ini bergantung pada perkhidmatan awam sekarang. Saya selalu sebut penjawat awam adalah teras dan tulang belakang kepada kerajaan dan saya tidak mungkin jadi Perdana Menteri yang berkesan tanpa sokongan perkhidmatan awam,” katanya.