Perdana Menteri berkata, jika hendak jadi tuan, seseorang Melayu perlu rajin, mempunyai ilmu, tidak menipu, jujur dan berbuat baik.

Malah Dr. Mahathir turut berpesan supaya orang Melayu tidak mencontohi sikap pemimpin-pemimpin yang tidak baik.

“Saya ingin beritahu kepada orang Melayu, jangan bercakap pasal ketuanan Melayu kalau masih jadi kuli orang.

“Kalau hendak jadi tuan, kena ada ilmu, rajin, tidak menipu orang, jujur, berbuat baik dan jangan contohi Perdana Menteri yang lama,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan dasar nasional Industri 4.0, Industry4WD di Menara MITI di sini hari ini.

Yang turut hadir ialah Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Darell Leiking dan Presiden Persekutuan Pekilang-pekilang Malaysia (FMM), Datuk Soh Thian Lai.-UTUSAN ONLINE