Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, bagi pihak kerajaan negeri, beliau amat berdukacita atas pemergian Mohamad Thaqif Amin Mohd. Gaddafi, 11, pukul 2.05 petang ini.

“Kita seharusnya sedekahkan al-Fatihah serta berdoa agar roh­nya dicucuri rahmat daripada Allah SWT dan ditempatkan bersama-sama orang yang dikasihi-Nya.

“Saya juga berharap semua pihak bertenang dan tidak membuat spekulasi yang akan hanya merumitkan lagi keadaan. Biarlah pihak berkuasa menjalankan siasatan terperinci berlandaskan aspek perundangan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu, pengetua madrasah tahfiz tersebut, Mohammad Afdhaluddin Ismail turut berkongsi berita sedih itu setelah dihubungi sendiri bapa arwah, Mohd. Gaddafi Mat Karim.

Mendengar perkhabaran tersebut, Mohammad Afdhaluddin berkata, pihaknya mengadakan majlis bacaan Yasin dan tahlil bersama seluruh warga madrasah tahfiz berkenaan.

“Dengan perasaan yang sa­ngat sayu dan hiba, saya mewakili seluruh warga madrasah tahfiz mengucapkan takziah atas musibah ini. Tentunya doa kami mengiringi pemergian Mohamad Thaqif Amin dan semua pelajar kami akan bersama hadir untuk solat jenazah di Aping Timur.

“Kami mengharapkan kekuatan daripada Allah untuk menghadapi semua ini dan mendoakan kekuatan yang lebih untuk ibu bapa dan seluruh ahli keluarga Mohamad Thaqif Amin untuk menerima pemergian ini,” katanya.