Sungguhpun begitu, kebebasan yang diberikan tersebut tidaklah bermaksud agama-agama selain Islam boleh menyebarkan agama mereka kepada umat Islam namun itulah yang didapati berlaku di beberapa negeri.
Kepada wartawan Utusan Malaysia, FARHANA JONI, Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Datuk Zainu l Rija l Abu Bakar berkongsi menerangkan Perkara 11 (4) Perlembagaan Persekutuan dan kepentingan Enakmen Kawal Agama Bukan Islam di setiap negeri.

 

UTUSAN: Adakah cukup untuk menjadikan Perkara 11 (4) Perlembagaan Persekutuan berhubung kebebasan beragama sebagai panduan untuk menyekat penyebaran agama lain terhadap umat Islam di negara ini?

ZAINUL RIJAL: Perlembagaan Persekutuan merupakan undang-undang tertinggi tetapi tiada kesalahan-kesalahan seperti denda atau hukuman penjara ditetapkan dalam peruntukan tersebut.

Kesalahan, denda, hukuman penjara hanya boleh dilaksanakan di bawah peruntukan undang-undang yang perlu digubal dan diwartakan di Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) terlebih dahulu.

Tidak cukupkah untuk se­mua pihak menghormati Per­kara 11 (4) Perlembagaan Persekutuan agar kejadian penyebaran kitab Bible di hadapan sebuah sekolah menengah di Bukit Mertajam, Pulau Pinang baru-baru ini tidak berulang?

Kalau hendak bergantung dengan frasa ‘hormat’ sahaja, saya rasa tidak perlu untuk negara ini memiliki undang-undang seperti Kanun Keseksaan dan akta-akta jenayah lain.

Tidak memadai sekadar hormat dan deklarasi Perlembagaan Persekutuan sahaja, jika tiada undang-undang untuk menghalang atau mengekang sesuatu kesalahan. Lebih-lebih lagi dengan situasi masyarakat hari ini, mereka tidak takut.

Pada pandangan Datuk, apakah sebab Pulau Pinang, Wilayah Persekutuan, Sabah dan Sarawak masih tidak lagi menggubal enakmen ini?

Sentimen dan kepentingan politik. Itu sahaja dan bagi saya ia perlu diketepikan. DUN Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak perlu menghormati semangat Perkara 11 (4) Perlembagaan Persekutuan itu dengan menggubal Enakmen Kawal Agama Bukan Islam dengan segera.

Wilayah Persekutuan pula di bawah tanggungjawab kerajaan Persekutuan untuk membawanya ke peringkat Parlimen agar dapat dijadikan sebagai undang-undang.

Setakat ini sebanyak lapan negeri mempunyai enakmen tersebut, adakah ia dikuatkuasakan dengan baik?

Sudah tentu malah perbicaraan pernah dijalankan di mahkamah sivil seperti yang berlaku di Pahang iaitu Timbalan Pendakwa Raya melawan seorang individu kerana didakwa melakukan penyebaran agama Hindu.

Sebenarnya jika diperhatikan kebanyakan kes penyebaran agama bukan Islam dalam kalangan umat Islam berlaku di negeri-negeri yang tidak memiliki enakmen tersebut. Jadi, pihak-pihak berkaitan kena bu­ka mata.

Secara kesimpulannya, ada­kah Enakmen Kawalan Agama Bukan Islam wajib ada di semua negeri?

Ya dan ia perlu ada sejak sekian lama lagi bagi membolehkan pihak polis dan Timbalan Pendakwa Raya melakukan siasatan seterusnya membuat pendakwaan apabila berlaku sebarang tindakan atau perbuatan yang sama seperti di Bukit Mertajam.

Selagi tiada peruntukan tersebut di setiap negeri, kes yang sama seperti di Bukit Mertajam itu tidak akan berakhir. Situasi ini seolah-olah kita memberi peluang untuk mereka yang berkaitan naik tocang.