Sebelum ini sudah banyak isu yang dilihat mahu memperkotak-katikkan umat Islam termasuklah pesta arak dan sekarang timbul pula isu berhubung larangan pemakaian tudung di sektor perhotelan. Penulis tertanya-tanya apa sebenarnya agenda kelompok tersebut. Memetik kata-kata Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Moha­med Nazri Aziz “Hina sangatkah wanita bertudung?”.

Justeru, apa yang berlaku tidak boleh dibiarkan. Ia bukan soal diskriminasi kepada kaum wanita Islam tetapi lebih daripada itu bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan serta mahu mencabar kebebasan beragama di negara ini.

Oleh itu tindakan setegas-tegasnya perlu dikenakan ke atas hotel terlibat, tidak kira sama ada hotel itu bertaraf lima bintang atau enam bintang. Ini bukan soal sesebuah hotel itu bertaraf antarabangsa atau tidak, tetapi ini soal sikap kurang ajar dan biadab kerana seolah-olah memandang rendah wanita bertudung.

Apa logiknya mahu menge­nakan larangan sedemikian sedangkan dari segi perniagaan sama ada sesebuah hotel itu akan dikunjungi atau tidak, ia bukannya bergantung kepada pekerjanya bertudung atau tidak tetapi perkhidmatan yang diberikan.

Sememangnya  apa yang disifatkan oleh Mohamed Nazri sebelum ini bahawa larangan itu adalah kurang ajar adalah tepat.

Kalau mana-mana hotel bertaraf antarabangsa mahu beroperasi di negara ini, mereka mesti mengikut peraturan, undang-undang dan Perlembagaan kita, bukannya mewujudkan peraturan atau larangan sesuka hati mereka.

Jika mereka merasakan kehadiran wanita bertudung boleh menjejaskan perniagaan mereka, silakan sahaja keluar dari negara ini. Apa yang penting kita tidak boleh tunduk kepada sikap biadab seumpama itu.

Malaysia bukanlah negara yang berada pada tahap `mengemis’ untuk meminta hotel bertaraf lima bintang atau enam bintang beroperasi di negara ini. Oleh itu kita tidak sewajarnya takut atau bimbang untuk mengambil tindakan tegas kepada hotel-hotel yang terlibat.

Sudah sampai masanya, pihak berkuasa melakukan tindakan tegas dengan mendedahkan nama-nama hotel yang berdegil untuk terus melaksanakan  larangan itu kepada orang ramai. Ia sebagai pengajaran kepada hotel-hotel tersebut supaya jangan terlalu biadab kalau mahu beroperasi di negara kita.

Apapun adalah diharapkan isu larangan ke atas wanita bertudung tersebut akan dipandang serius oleh pihak kerajaan seperti mana ditunjukkan oleh Mohamed Nazri dan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar. Ia memandangkan kita tidak mahu perbuatan mencabar kesabaran umat Islam berterusan seolah-olah mereka boleh diperlakukan apa sahaja.