Perkara itu dibangkitkan Pengerusi Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat kerugian berkenaan, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan dalam sesi pendengaran pertama prosiding yang dijalankan di Istana Kehakiman, Putrajaya semalam.

Beliau yang juga Pengerusi Petroliam Nasional Berhad (Petronas) dan bekas Ketua Setiausaha Negara hairan kenapa tiada tindakan diambil terhadap individu yang bertanggungjawab ketika itu.

Memang wajar bagi Mohd. Sidek membangkitkan persoalan yang pastinya bermain dalam minda rakyat di negara ini kerana siasatan hanya diteruskan hanya selepas 20 tahun skandal tersebut berlaku.

Patutkah pihak bertanggungjawab menyebabkan kerugian urus niaga mata wang asing yang disifatkan oleh bekas Penolong Gabenor BNM, Datuk Abdul Murad Khalid sebagai yang terbesar dalam sejarah perbankan dunia itu boleh terlepas begitu sahaja?

Dalam sesi sama, Abdul Murad turut menyatakan beliau telah melaporkan kerugian itu pada Jun 1992 kepada Gabenor BNM ketika itu, Allahyarham Tan Sri Jaffar Hussein.

Dua tahun kemudian, atas arahan Jaffar, Abdul Murad melaporkan kes berkenaan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim yang merupakan Menteri Kewangan pada masa itu.

Bekas Gabenor BNM, Tan Sri Ahmad Mohd. Don juga pernah dipanggil memberi keterangan berhubung kerugian tersebut di hadapan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC).

Namun, dalang di sebalik skandal itu masih bebas tanpa dikenakan sebarang tindakan.

Seperti yang ditegaskan oleh Mohd. Sidek, kebenaran termasuk siapakah individu yang mengarahkan skandal itu disembunyikan mesti dibongkar dan tiada alasan lagi untuk menghalang maklumat berkaitan urus niaga berkenaan daripada didedahkan kepada umum.