Ketua Polis Daerah, Superintendan Baharuddin Abdullah ketika dihubungi menegaskan mereka tidak boleh mengadili dan menghukum sendiri dengan mencederakan kerana ia suatu kesalahan jenayah.

Merujuk kepada insiden seorang pemandu lori yang dibelasah beramai-ramai Isnin lalu dan mangsa dikat, beliau berkata, pihaknya belum menerima laporan berhubung kes itu, justeru kes masih disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

“Kita masih belum tahu siapa yang bersalah dalam perkara ini dan kes ini masih dalam siasatan kami. Biar kami menyiasatnya berdasarkan kepada bukti - bukti yang sedia ada dalam menentukan siapa yang salah atau tidak, “ katanya.

Dalam kejadian pukul 6.30 petang itu, Nur Syuhaiba Shafiee, 15, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Balai Besar maut setelah motosikal yang ditungganginya dilanggar dari arah belakang oleh sebuah lori yang membawa muatan kanji sebelum menyeretnya sejauh 20 meter.

Pelajar tersebut meninggal dunia di tempat kejadian dan penduduk yang berang dengan kejadian itu bertindak memukul pemandu lori berusia 33 tahun sehingga mengalami kecederaan.

Pemandu lori itu kemudiannya dibawa ke Unit Kecemasan Hospital Dungun sebelum dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu untuk menerima rawatan lanjut.

Sementara itu, pihak hospital memberitahu, lelaki tersebut yang berasal dari Kuala Terengganu mengalami kecederaan dimuka, namun keadaanya beransur pulih. -UTUSAN ONLINE