Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, semua pihak perlu rasional dan tidak membandingkan sumbangan yang diberikan kepada dua sekolah tersebut dengan sekolah-sekolah lain.

"Kita kena lihat murid mereka, kalau di Sekolah (Tinggi) Chung Hua muridnya 2,800 orang. Itu satu sekolah, kita pula semua sekolah baru ada 2,000 orang.

"Kita beri sumbangan ikut bilangan murid. Kalau kita bagi saja macam itu, tak adil, kena ikut kesesuaian. Di sebuah sekolah tahfiz ada yang pelajarnya beratus orang, ada yang 50 orang, 20 orang, malah ada empat orang saja. Jadi kita kena rasional.

"Jangan banding. Apa yang kerajaan baharu ini buat tak pernah dibuat kerajaan dulu. Dulu tahfiz tak ada sumbangan," katanya dalam sidang akhbar Majlis Penyerahan Bantuan Projek Madrasah Impianku di sini hari ini.

Beliau mengulas dakwaan sesetengah pihak bahawa sumbangan sebanyak RM450,000 kepada Sekolah Tinggi Chung Hua di sini dan Sekolah Menengah Chung Hua di Port Dickson, jauh lebih besar daripada yang akan diagihkan kepada sekolah-sekolah lain.

Sumbangan itu adalah sebahagian daripada peruntukan berjumlah RM3.5 yang diumumkan kerajaan negeri bagi membantu sekolah jenis kebangsaan Cina, sekolah jenis kebangsaan Tamil, sekolah tahfiz dan sekolah agama rakyat di negeri ini.

Menurut Aminuddin lagi, beliau mahu semua sekolah di negeri ini mendapat bantuan kewangan sewajarnya untuk keperluan mereka.

"Kita hendak semua dapat kemudahan, kalau ada empat pelajar atau 12 orang, sekolah itu tetap perlukan kemudahan. Itu yang kita kena lihat bukan buat perbandingan tidak munsabah," katanya. - UTUSAN ONLINE