ABDUL RAHMAN OSMAN

Sambil merujuk kenyataan terbaharu Dr. Mahathir dalam ce­ramah Pakatan Harapan diketuai DAP di Pendang semalam, Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad berkata, dana daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang terus dipertikaikan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu sebenarnya tidak berbangkit.

Katanya, ini kerana ibadah seseorang tidak kira kos haji itu ditanggung daripada pendapatan sendiri atau mana-mana sumber terma­suk tajaan 1MDB sekalipun adalah dalam pertimbangan Allah untuk menentukan mabrur atau tidak.

“Kita tidak boleh komen ke­rana itu terletak pada keadilan Allah SWT. Mabrurnya ibadah seseorang itu adalah dalam pertimbangan Allah. Macam mana Dr. Mahathir boleh keluarkan hukum begitu.

“Apatah lagi usaha kerajaan untuk membawa orang yang tidak berkemampuan menunaikan haji adalah satu kebajikan dan tugas untuk bantu rakyat. Sama ada dana 1MDB diragukan atau tidak, tidak berbangkit untuk tentukan mabrur atau tidak,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Dalam ceramah terbaharunya di Kampung Bukit Jambul, Kedah semalam, Dr. Mahathir mendakwa duit yang kononnya dicuri, merujuk kepada 1MDB adalah haram dan tidak boleh digunakan untuk menunaikan ibadah haji.

MOHAMAD SHUKRI MOHAMAD
MOHAMAD SHUKRI MOHAMAD

Malah agak keterlaluan, apabila bekas Perdana Menteri itu turut memberi perumpamaan ‘menyembelih babi’ yang haram bagi umat Islam disamakan de­ngan ibadah haji yang ditanggung 1MDB.

Sementara itu, Mufti Pahang, Datuk Seri Dr. Abdul Rahman Osman berkata, ahli politik tidak wajar untuk memberi komen mengenai soal agama yang boleh melibatkan akidah rakyat.

Katanya, ibadah haji mabrur apabila haji yang dibuat adalah ikhlas, bersih daripada kesalahan semasa menunaikannya dan cukup syarat-syaratnya.

“Tidak ada kena mengena de­ngan sumber duit tersebut. Sedangkan jika orang bukan Islam yang sumber pendapatannya berbagai-bagai menaja kita membuat ibadah haji pun, tiada masalah.

“Kuasa untuk menetapkan fatwa atau komen soal agama ini diberikan kepada mufti. Ustaz sendiri pun tidak boleh sewenang-wenangnya mengeluarkan fatwa sesuka hati, inikan pula ahli politik,” katanya.