Pro-Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM), Tan Sri Arshad Ayub berkata, sejak ditubuhkan atas nama Dewan Latihan RIDA dan Institut Teknologi Mara (ITM), institusi pengajian tinggi awam (IPTA) itu telah melahirkan ramai golongan profesional yang berjaya dalam bidang masing-masing.

“Biarlah usaha memberi pendidikan kepada anak bangsa diteruskan oleh generasi hari ini kerana saya merasakan perjuangan tersebut baru sahaja bermula.

“Umpama benih yang ditanam tidak berapa elok tetapi apabila dijaga dan diberi perhatian serta dibaja dengan sempurna, mampu mengeluarkan hasil yang baik,” katanya.

Beliau berkata demikian di majlis Perjumpaan Keluarga ITM/UiTM Ayahanda Arshad Ayub anjuran Persatuan Alumni UiTM (PAUiTM), di sini malam tadi. Lebih 250 alumni hadir.

Hadir sama, Naib Canselor UiTM, Tan Sri Prof. Ir. Dr. Sahol Hamid Abu Bakar dan Presiden PAUiTM, Datuk Zaini Hassan.

Arshad memberitahu, semasa beliau menggerakkan usaha membuka cawangan UiTM di Dungun, Terengganu; Arau, Perlis dan Sarawak dahulu, ramai yang berpandangan sinis dengan mengatakan usaha tersebut adalah gila.

Walau bagaimanapun jelasnya, usaha berkenaan kini menjadi contoh banyak IPTA lain yang turut membuka universiti di kawasan pedalaman.

Dalam majlis tersebut, Arshad turut menyambut hari jadinya yang ke-86 dan diraikan bersama isteri­nya, Puan Sri Zaleha Mohd. Arshad.