Baginda bertitah, adalah menjadi satu kerugian sekiranya potensi golongan itu diabaikan dan bakat mereka dibiarkan tanpa sebarang sokongan oleh masyarakat.

"Ketika kita sedang sibuk menghadapi cabaran terutamanya dalam era Revolusi Industri 4.0, tanggungjawab kita terhadap kanak-kanak penghidap autisme ini janganlah dilupakan.

"Kehadiran mereka sebenarnya memberi peluang kepada kita untuk saling menghargai antara satu sama lain sekali gus mewujudkan sebuah masyarakat yang lebih berkasih sayang dan harmoni," titah baginda.

Demikian titah baginda ketika berkenan berangkat merasmikan ‘Karnival Bank Rakyat-A-Heart Autismlympic 2018’ anjuran bersama Universiti Malaysia Perlis (Unimap) dan Bank Rakyat yang diadakan di Auditorium Perpustakaan Tuanku Syed Faizuddin Putra Unimap, Pauh Putra, di sini semalam.

Keberangkatan tiba baginda yang juga merangkap Tuanku Canselor Unimap disambut oleh Naib Canselornya, Prof. Datuk Dr Zul Azhar Zahid Jamal serta Ketua Pemasaran Dan Komunikasi Bank Rakyat, Nizam Sani.

Lebih daripada 500 peserta dalam kalangan warga Unimap dan beberapa buah sekolah terpilih di negeri ini menghadiri program itu.

Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah, menarik perhatian semua pihak supaya bersama-sama meneruskan khidmat masyarakat terhadap kanak-kanak penghidap autisme supaya mereka tidak ketinggalan.

"Mereka mampu mencipta kejayaan tetapi cuma memerlukan kita untuk berfikir lebih kreatif bagi menjaga dan mendidik mereka," titah baginda.

Untuk rekod, Unimap turut menjalinkan kerjasama strategik dengan pihak Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dan Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis bagi melaksanakan beberapa inisiatif membantu mendidik kanak-kanak autistik di negeri ini. - UTUSAN ONLINE