Ditubuhkan pada tahun 1999, ABM Wilayah Tengah merangkumi tiga negeri termasuklah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, Selangor dan Negeri Sembilan.

Bukan calang-calang orang yang dihasilkan Akademi Binaan Malaysia (ABM) apabila hampir kesemua bekas pelajarnya mempunyai latar belakang kerjaya yang hebat dan kemahiran yang mencakupi kehendak industri.

Bina syarikat sendiri

Muhammad Khushairee Ahmad, 27, mula menyertai ABM pada tahun 2016 dan kini memiliki sebuah syarikat yang menyediakan perkhidmatan pemasangan dan membaiki penyaman udara di sekitar Kuala Lumpur.

“Walaupun syarikat tersebut masih baru, namun saya bersyukur kerana menuntut di akademi ini kerana ilmu yang disampaikan itu berguna untuk saya sehingga kini. Sebelum ini saya berada dalam bidang elrktrikal yang mana saya lihat peluang pekerjaan itu sangat nipis.

“Kira-kira dua minggu selepas tamat pengajian di ABM, saya ditawarkan bekerja di Menara Kuala Lumpur sebagai juruteknik sebelum membuka perniagaan sendiri,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Menurutnya, membuka syarikat sendiri adalah perkara yang sukar jika pemilik tidak melengkapkan diri dengan ilmu dan wang mencukupi.

“Tenaga pengajar di sini banyak mengajar saya, jadi dengan orang-orang hebat seperti inilah yang perlu saya berguru dan ‘menggali’ ilmu mereka sehingga ke dasar,” ujarnya.

Gaji besar

Lain pula cerita Mohd. Yuhyi Faiz Mohd. Shariff, 26, yang mempunyai gaji hampir RM10,000 sebulan dengan kemahiran hasil pembelajaran di ABM pada tahun 2014.

“Kerjaya saya bermula di Tabung Haji, Pulau Indah selama setahun selepas tamat belajar kemudian ditawarkan ke projek Transit Aliran Massa (MRT) dari awal tahun 2015 hingga penghujung 2016.

“Sekarang saya bekerja di syarikat Samsung C&T Sdn. Bhd. dan gaji boleh mencecah puluhan ribu termasuk bayaran elaun dan kerja lebih masa (overtime),” katanya.

Menurutnya, ABM turut mengajar pelajarnya untuk mengetahui lakaran, pengiraan dan undang-undang yang perlu dipatuhi ketika kemahiran itu digunakan.

“Saya masih bertanya kepada tenaga pengajar di sini mengenai apa-apa perkara berkaitan dengan kerja dan mereka tidak kekok untuk memberikan ilmu yang mereka ada.

“Bagi saya pengalaman mereka dalam bidang ini sangat lama dan saya tidak akan rugi apa-apa kalau bertanya mengenai banyak perkara.

“Orang mungkin pandang rendah dengan pendapatan kami tapi saya telah buktikan kerjaya ini masih boleh memiliki pendapatan lumayan sama seperti kerja lain di negara ini,” tambahnya.

Dapat mewakili Malaysia ke peringkat Antarabangsa

ABM bukan calang-calang institusi di Malaysia kerana terdapat pelajarnya yang berpeluang untuk bertanding ke peringkat antarabangsa dalam WorldSkills Competition (WSC) 2019.

Muhammad Al Amin Abdullah, 20, adalah anak jati Kelantan yang akan mewakili ABM dalam pertandingan tersebut di Kazan, Rusia jika berjaya melepasi peringkat saringan.

“Saya pernah memenangi tempat kedua dalam pertandingan WorldSkills Malaysia Belia (WSMB) pada 2017 dan tempat pertama pada tahun 2018 dalam bidang pernapis paip gas dan perpaipan.

“Siapa yang tidak bangga memenangi pengiktirafan sebegitu. Sekurang-kurangnya saya membawa pulang kemenangan dan perlu tahu bahawa persaingan antara institusi dan antara negara itu sangat sengit,” ujarnya.

Muhammad Al Amin mendaftar sebagai pelajar di ABM setelah dibantu cikgu sekolah menengahnya mengikut keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diperolehinya ketika itu.

“Saya perlu membuat latihan dengan bersungguh-sungguh jika ingin ke Rusia kerana panel penilai sangat teliti soal pemasangan dan mahukan projek itu sempurna.

“Walaupun telah menerima soalan lebih awal tetapi semasa pertandingan soalan itu akan diubah sebanyak 30 peratus dan pelajar perlu mengetahui banyak perkara seperti jenis barangan yang digunakan serta dari mana bahan itu dibuat sebelum pertandingan bermula,” katanya.