Ketua Pengarah Perhutanan Semenanjung Malaysia, Datuk Nor Akhiruddin Mahmud berkata, ketika ini pihak kerajaan masih lagi membuat kajian dan mengadakan perbincangan dengan penduduk setempat yang tinggal di Pos Tohoi, Pos Pulat dan Kampung Jias.

Katanya, sekiranya projek membina empangan itu dilaksanakan, tiga penempatan Orang Asli itu akan mula ditenggelami air.

"Kita menawarkan pampasan tanah lebih dua hektar, rumah banglo dan lot dusun kepada keluarga terlibat termasuklah infrastruktur baharu seperti sekolah dan dewan.

"Namun, saya difahamkan oleh pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB), penduduk Orang Asli termasuklah di Pos Pulat dikatakan tidak bersetuju dengan projek ini.

"Jadi TNB dan pakar runding mereka perlu turun padang melihat kembali keperluan atau isu baharu yang dikemukakan oleh Orang Asli tersebut sebelum projek itu dijangka dilaksanakan pada tahun 2024," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas membuat lawatan ke tapak projek Hidroelektrik Nenggiri di Sungai Nenggiri, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Jabatan Perhutanan negeri, Datuk Zahari Ibrahim dan Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa), Ajis Sitin. - UTUSAN ONLINE