Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, rakyat perlu mengubah amalan suka membazir agar hasrat kerajaan untuk meningkatkan hasil penge­luaran makanan negara menje­lang 2050 mencapai matlamat.

Beliau berkata demikian sebagai maklum balas terhadap saranan yang disuarakan oleh penuntut Kolej Pertanian di Bukit Tangga di sini, sempena Program Chillax Agropreneur Muda Transformasi Nasional (TN50).

Ahmad Shabery ketika ditemui selepas program selama sejam itu berpuas hati dengan hasil pertemuannya secara bersemuka de­ngan golongan generasi muda dalam bidang pengeluaran maka­nan.

“Saya melihat program ini me­rupakan permulaan yang baik untuk memperkukuh dan membina pandangan orang bawah terutama generasi muda dalam bidang pengeluaran makanan negara.

“Pendekatan TN50 berbeza dengan pelaksanaan Wawasan 2020 yang dilaksanakan hanya mengikut acuan pemimpin pe­ringkat atasan ketika itu,” kata­nya.

Yang turut hadir Ketua Setia­usaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Dr. Ismail Bakar dan penganjur program itu, Datuk Jamal Harizan Yang Razali.

TN50 yang digagaskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak merupakan dasar futuristik bagi memeta hala tuju negara untuk tempoh 30 tahun selepas Wawasan 2020.

Lebih 1,500 orang pelajar daripada 16 buah institusi berkaitan pertanian di seluruh negara hadir bagi memberi pandangan dan cadangan untuk meningkatkan hasil pengeluaran makanan negara.

Selain mengemukakan pandangan secara terus, golongan itu turut disediakan satu talian Whats­App khusus oleh pihak pe­nganjur bagi tujuan sama.