N. GOPAL KISHNAM

Setiausaha Agung MTUC, N. Gopal Kishnam berkata, keputusan kerajaan mengurangkan caruman KWSP sebanyak tiga peratus dilihat bakal merugikan pekerja sektor swasta kerana langkah tersebut memberi kesan pengurangan wang simpanan mereka pada hari tua kelak.

Katanya, semua persatuan pekerja yang bernaung di bawah MTUC tidak bersetuju dengan pengumuman tersebut dan mendesak kerajaan supaya mengkaji semula keputusan itu.

“Walaupun para pekerja diberi pilihan sama ada untuk menerima pengurangan caruman tiga peratus itu atau sebaliknya, tetapi mereka diminta untuk mengisi borang jika mahu mengekalkan potongan sebanyak 11 peratus.

“Hampir kebanyakan para pekerja tidak mengetahui prosedur tersebut walaupun pada hakikatnya mereka enggan mengurangkan kadar caruman kepada lapan peratus,” katanya ketika ditemui di lobi Kementerian Kewangan, di sini hari ini.

Terdahulu, Gopal Kishnam bersama Pemangku Presiden MTUC, Abdullah Sani Abdul Hamid yang merupakan Ahli Parlimen Kuala Langat menghantar memorandum kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak merangkap Menteri Kewangan bagi menggesa kerajaan mengekalkan caruman pekerja sebanyak 11 peratus.

Memorandum itu telah diserahkan kepada Timbalan Setiausaha Bahagian Strategik Korporat dan Komunikasi Kementerian Kewangan, Suhaili Ahmad yang mewakili Menteri Kewangan.

Ketika Majlis Perutusan Khas Pengubahsuaian Bajet 2016 pada Januari lalu, Najib mengumumkan kerajaan bersetuju mengurangkan potongan kadar caruman KWSP pekerja sebanyak tiga peratus mulai Mac tahun ini sehingga Disember 2017.

Pada masa sama, Gopal Kishnam turut menggesa kerajaan supaya menukar prosedur tersebut dengan memberi pilihan kepada para pekerja yang menerima pengurangan caruman itu untuk mengisi borang jika mahu langkah itu diteruskan.

Sementara itu, beliau berkata, kepemimpinan MTUC berhasrat mengadakan pertemuan bersama Perdana Menteri bagi membangkitkan beberapa persoalan mengenai kebajikan para pekerja khususnya melibatkan langkah kerajaan mengurangkan caruman KWSP tersebut.

“Kita telah menghantar permohonan kepada Perdana Menteri untuk mengadakan pertemuan pada 4 April ini, namun sehingga kini kami belum menerima jawapan.

“Tetapi kami berharap beliau bersetuju dengan pertemuan ini supaya isu-isu berkaitan nasib pekerja dapat diketengahkan kepada kerajaan,” katanya.