Presiden Gabungan Persatuan Permotoran Malaysia (GPMOTO), Datuk Seri Abdul Rauf Yusoh berkata, para peserta akan berkonvoi mengikut kategori negeri dan zon masing-masing sebelum berkumpul di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) selama tiga hari dua malam.

Katanya, program tersebut akan turut disertai oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi selaku Pengerusi Eksekutif GPMOTO.

“Ini bagi mengumpulkan kesemua peminat motosikal daripada pelbagai kategori dan jenama sekali gus merapatkan hubungan dalam komuniti penunggang motosikal.

“Pelbagai aktiviti akan diadakan sepanjang tiga hari tersebut antaranya pameran serta jualan motosikal baharu dan terpakai, pertandingan motosikal tercantik dan cabutan bertuah seperti motosikal Yamaha Y15ZR jadi diharapkan orang ramai hadir memeriahkan program ini nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan mesyuarat MBW 2018 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini hari ini.-UTUSAN ONLINE