Ketua Polis Daerah, Superintendan Rajab Ahad Ismail berkata, hujan lebat sejak pukul 4.30 petang tadi telah menyebabkan paras air sungai naik sehingga menyebabkan puluhan tan sisa kayu dan sampah melekat pada jambatan.

Katanya, jambatan tersebut telah ditutup dan beliau menasihatkan orang ramai menggunakan laluan alternatif untuk sementara waktu.

"Jambatan tersebut telah dipantau oleh pihak berkuasa dan penduduk kampung.

"Sehingga pukul 8 malam ini jambatan yang merentasi Sungai Nenggiri itu sudah tenggelam sepenuhnya tetapi air sudah mulai surut," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Sementara itu, sorang penduduk Kampung Jerek, Norizan Suhaimi, 35, berkata, jambatan tersebut kerap tenggelam terutama apabila berlaku hujan lebat menyebabkan semua pengguna terkandas.

"Penduduk di lapan buah kampung yang menggunakan jambatan ini untuk melakukan urusan harian.

"Kami bimbang apabila musim tengkujuh menyebabkan jambatan akan tenggelam kerana paras air sering naik dan kami berharap jambatan ini tidak runtuh," katanya.

Sementara itu, Pentadbir Mukim Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, Kamizi Jalil berkata, pengguna yang menggunakan jambatan sementara itu hendaklah sentiasa berhati-hati.

"Ketika ini jambatan sementara itu tidak boleh dilalui semua kenderaan dan terpaksa menunggu beberapa jam lagi sebelum air surut semula.

"Penduduk yang tinggal berhampiran jambatan itu juga akan dikerah untuk sama-sama membersih jambatan itu yang dipenuhi kayu terbuang bagi memudahkan laluan apabila air surut nanti," katanya.

Jambatan sementara Pulau Setelu itu dibina awal tahun lepas selepas jambatan asalnya runtuh di landa arus deras dan dirempuh ratusan tan kayu balak dalam kejadian banjir besar Disember 2014. - UTUSAN ONLINE