Ahli Dewan Undangan Ne­geri (ADUN) Jelai, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kerja-kerja membaik pulih jambatan itu dijadual bermula 8 Januari ini dan melibatkan peruntukan sebanyak RM462,000 dan dijangka siap 18 Mac akan datang.

Berikutan itu, beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Perbandaran negeri menasihatkan orang ramai agar mendapatkan maklumat sahih supaya tidak membuat tanggapan salah berhubung perkara berkenaan.

“Timbul sedikit salah faham apabila kisah murid dan ba­panya menggunakan jambatan rosak untuk ke sekolah sedangkan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Bukit Kota ada menyediakan perkhidmatan bot untuk menyeberangi Sungai Tanum.

“Saya harap mereka yang ber­kenaan mendapatkan maklumat sahih tentang status jambatan ter­babit dan kita sedaya upaya menyediakan kemudahan asas terbaik untuk rakyat,” katanya di sini hari ini.

Video murid berkenaan, Lutfil Hadi Abdul Jalil, 5, dibantu bapanya, Abdul Jalil Sulaiman, 41, yang mengambil risiko menggunakan jambatan itu menyebera­ngi Sungai Tanum untuk ke Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Yon di sini, tular di media sosial dan ditonton lebih sejuta kali setakat pukul 2.30 petang ini.

Mereka dikatakan menggunakan jambatan yang rosak di Kampung Pamah Aur itu berikutan jalan darat di kampungnya ditenggelami air banjir dan tidak boleh dilalui oleh kenderaan ringan.

Menurut Wan Rosdy, beliau telah mengadakan pertemuan dengan Abdul Jalil hari ini dan memberi penerangan berhubung status jambatan tersebut.

Kata beliau, lelaki berkenaan berpuas hati dengan penera­ngan yang diberikan dan berharap orang ramai yang mempunyai masalah supaya bertemu atau bertanyakan terlebih dahulu kepada pihak-pihak berkaitan.

Sementara itu, Abdul Jalil meminta maaf mewakili isterinya yang memuat naik video tersebut sehingga tular di laman sosial Facebook.