Menerusi satu rakaman suara yang dihantar ke aplikasi WhatsApp kumpulan media awal hari ini, Jamal menjelaskan, beliau pergi ke bangunan Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) untuk mengeluarkan wang bagi membiayai kos reman kerana beranggapan proses ikat jamin telah selesai dan sempurna.

Beliau turut menyuarakan kesediaan untuk memberi kerjasama dalam menyelesaikan proses jaminan itu dan akan hadir ke balai polis seperti diarahkan.

“Ketika kejadian, kira-kira pukul 3.15 petang (Jumaat lalu), saya telah selesai kes itu dan telah keluar dari hospital kerana mendapati reman saya telah habis manakala jaminan terhadap tuduhan itu telah dijamin oleh penjamin saya.

“Saya kemudiannya bergegas keluar dari hospital untuk mengeluarkan wang Tabung Haji bagi membiayai kos reman dan sebagainya,” katanya.

Jamal yang juga Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar bagaimanapun memberitahu, setelah berjaya mengeluarkan wang itu, beliau menerima panggilan sedang diburu pihak polis kerana didakwa melarikan diri dari hospital berkenaan.

“Memandangkan keadaan saya kurang sihat, saya berpendapat le­bih baik saya berehat dulu,” ujar­nya.

Sementara itu, ketua kumpulan peguam yang mewakili Jamal, Datuk Mohd. Imran Tamrin berkata, Jamal memaklumkan masih belum sihat sepenuhnya dan dalam proses penyembuhan, tetapi anak guamnya itu akan hadir ke mahkamah untuk menyempurnakan proses ikat jamin dan memberikan kerjasama kepada pihak polis setelah sihat nanti.

“Kami telah memaklumkan kepada polis berkenaan perkembangan ini dan telah mengambil maklum perkara ini,” katanya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat ketika dihubungi pula mahu Jamal segera tampil bagi melengkapkan proses jaminannya.

Jelasnya, Jamal belum menyempurnakan urusan dokumentasi bagi proses ikat jamin dan dia perlu tampil segera untuk melengkapkannya.