Meskipun jarak usia 35 tahun di antara mereka, Jamal menganggap semua yang berlaku adalah takdir dan jodoh yang telah tersurat ke atas dirinya, diberikan rezeki untuk beristerikan orang muda.

“Sebenarnya, bukan mudah untuk berkahwin dengan orang muda. Saya kena me­ngaku yang perjalanan hidup kami penuh dengan warna-warni. Usia perkahwinan pun masih baharu sangat dan macam-macam perkara perlu dipelajari oleh dia.

“Dia masih muda dan kebanyakan perbuatannya juga sama seperti orang lain yang seusia dengannya. Sedangkan saya sudah lebih 50 tahun, ba­nyak yang berbeza. Saya pula lebih old school, jadi tentulah ada beberapa perbuatannya yang saya kurang berkenan.

“Tetapi sebagai suami saya tegur apa yang salah dan memperbaiki segala kekura­ngan. Saya anggap ini tempoh masa untuk kami menyesuaikan diri dan membetulkan kesilapan satu sama lain,” kata Jamal ketika ditemui Mingguan Malaysia baru-baru ini.

Menariknya perke­na­lan de­ngan iste­rinya hanya berlangsung selama se­bulan sahaja sebelum mereka mengambil keputusan untuk mengikat cinta de­ngan perkahwinan. Meskipun ada yang menganggap tempoh ter­sebut sa­ngat singkat untuk me­­nilai hati budi masing-masing, Jamal melihat sebaliknya.

Dedah penyanyi yang po­pular dengan lagu Kekasih Awal Dan Akhir itu lagi, dia tidak membuat keputusan tergesa-gesa ketika itu.

“Hubungan kami sangat istimewa memandangkan tidak bercinta lama seperti pasa­ngan lain. Masa berkenalan dahulu pun tak selalu bertemu dan hanya berhubung melalui te­lefon. Sebab itu saya sering i­ngatkan dia yang hubungan kita perlu matang, dia perlu belajar untuk menjadi wanita yang lebih baik.

“Kami bercinta selepas nikah sebenarnya. Tapi ‘berbalah’ tu tetap ada dan itu me­rupakan perkara biasa dalam rumah tangga. Bukan senang nak berkahwin de­ngan orang muda,” katanya dalam ketawa.

Jamal sebelum ini pernah menikahi Basariah Abdul La­tiff tetapi bercerai dan berkahwin dengan Noraina Mohd. Yusof sebelum Fatimatuzahrah Sa­mad yang juga berakhir de­ngan perceraian.

Melalui perkahwinannya, penyanyi pujaan ramai itu dikurniakan dua anak lelaki iaitu Osama Yamani, 16; dan Ahmad Zaki Yamani, 10.