Tinjauan Utusan Malaysia di Dataran Merdeka di sini mendapati rata-rata pengunjung meluahkan kekecewaan apabila jam yang menjadi salah satu lambang warisan negara ini terus dibiarkan ‘mati’ tanpa sebarang tindakan oleh pihak berwajib.

Selain itu, difahamkan sehingga kini masih tiada pihak yang melakukan kerja baik pulih jam berkenaan.

Pelancong Indonesia, Septia Karmila, 23, berkata, jam ber­usia 119 tahun tersebut perlu dijaga rapi bagi mengelakkan lebih banyak bahagian yang rosak.

“Peralatan sejarah harus di­pu­lihara dengan baik. Jika dibiarkan terlalu lama, dikhuatiri lebih banyak bahagian yang rosak, sekali gus meningkatkan kos baik pulih,” katanya ketika ditemui hari ini.

Jam besar tersebut didapati tidak berfungsi serta gagal di­selenggarakan dengan baik sejak bekas penjaga yang menguruskan jam tersebut, V. Kunasegaran cuti bersara pada Isnin lalu.

Nada sama turut disuarakan oleh Lisbet Sitoris, 20, yang menganggap membaiki jam besar berkenaan bukan suatu usaha yang mudah.

“Walaupun jam ini dimamah usia, namun perlu dijaga dan diselenggara dengan baik bagi memastikan kelancaran opera­sinya dalam jangka panjang,” katanya yang bercuti selama empat hari di Malaysia.

Dalam pada itu, seorang pengunjung tempatan, Mohd. Saifuddin Shamsudin, 23, mahu warisan sejarah tersebut dibaik pulih dengan segera.

“Jam besar ini menjadi lambang kebanggaan seluruh rakyat Malaysia kerana nilai sejarahnya serta menjadi tumpuan pelancong asing yang bercuti di ibu kota. Saya harap jam ini terus dijaga bagi tatapan generasi akan datang,” katanya.

Sementara itu, pengunjung dari Tanjung Malim, Perak, Iswantie Lomayatim, 36, menyifatkan Da­taran Merdeka tidak lengkap tanpa deringan jam besar tersebut.

“Jam besar ini telah menjadi saksi terhadap sejarah pemba­ngunan Kuala Lumpur dan tidak terhingga nilainya kepada negara. Saya harap, warisan sejarah seperti ini diberikan perhatian yang sewajarnya oleh pihak berwajib,” katanya.