Menurut bekas penjaga yang menguruskan jam tersebut, V. Kunasegaran, 61, jam besar tersebut didapati tidak berfungsi serta gagal di­selenggarakan dengan baik sejak be­liau cuti bersara pada Isnin lalu.

Katanya, sepanjang menguruskan jam tersebut sejak 40 tahun lalu, jam besar berkenaan tidak pernah dibiarkan tidak berfungsi untuk tempoh masa yang lama.

“Sebelum ini, memang pernah ada sekali atau dua kali masalah meli­batkan jam tersebut tetapi ia hanya masalah kecil dan tidak me­ngambil tempoh masa yang panjang, tetapi kali ini sudah enam hari jam tersebut dibiarkan tidak berfungsi.

“Saya bimbang jika jam besar tersebut dibiarkan tanpa penyelenggaraan yang baik, ia boleh menyebabkannya rosak serta memerlukan kos yang tinggi untuk membaikinya,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Kunasegaran yang merupakan bekas Pembantu Operasi Jabatan Ukur dan Pemetaan (Jupem) berkata, jam besar tersebut perlu diselenggarakan sebanyak dua kali setahun, malah gear dan kabel jam besar tersebut juga perlu dipusingkan dua hari sekali untuk memastikannya berfungsi serta mengelakkan daripada rosak.

Malah katanya, beliau telah mela­tih seorang pelapis untuk meng­gantikan tempatnya tetapi dia masih memerlukan banyak latihan sebelum mahir menguruskan jam buatan Gillet & Johnston Manufactures dari England tersebut.

“Saya bersedia memberikan latihan kepada mereka yang berminat untuk menguruskan jam loceng ini, namun mereka perlu menjalani latihan sekurang-kurangnya tiga tahun sebelum benar-benar mahir menguruskan jam tersebut,” katanya.

Ketika mengimbau pengalaman­nya, Kunasegaran berkata, beliau perlu menaiki sebuah tangga berpusing dan tiga peringkat tangga kayu dengan hampir 90 anak tangga yang curam­nya hampir 90 darjah bagi menuju ke mesin manual jam ber­kenaan.

“Mesin berkenaan boleh diibaratkan sebagai nadi jam. Di sinilah saya mengunci jam, menyelaraskan waktu, membersih dan memeriksa fungsi mekanikalnya. Malah, sebelum jam dikunci, saya perlu memastikan setiap gear dalam keadaan yang baik dan akan menyapu minyak yang diimport dari Switzerland pada setiap gear untuk memudahkan pergerakan takal, pendulum dan kabel.

“Saya akan mengunci jam de­ngan memutarkan 300 kali pusingan engkol untuk menaikkan pemberat loceng jam dan jarum saat yang tiap satunya seberat 50 kilogram. Selepas engkol diputar, kedua-dua pemberat dengan sendirinya akan naik selepas dikunci dan turun se­mula sehingga ke tingkat dua selepas empat hari menerusi takal dan kabel dawai. Pemberat itu akan dikunci dan dinaikkan semula supaya jam terus berfungsi,” katanya.

Bagi memastikan jam besar tersebut diuruskan dengan baik, Kunasegaran menggesa Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan untuk menyelenggarakan jam ber­kenaan bagi mengelakkan kerosakan yang lebih serius.