Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, bendera Malaysia itu dikibarkan separuh tiang selama dua hari bermula dari hari pemakaman jenazah Almarhum Sultan Abdul Halim esok dan Rabu.

“Kerajaan ambil keputusan untuk mengisytiharkan dua hari bendera Malaysia dikibarkan separuh tiang bermula Selasa (esok) dan Rabu,” katanya kepada wartawan Malaysia di sini hari ini.

Perdana Menteri berada di Wa­shington untuk lawatan kerja tiga hari termasuk mengadakan pertemuan dengan Presiden Amerika Syarikat, Donald J. Trump di White House pada 12 September.

Sultan Abdul Halim, 90, mang­kat di Istana Anak Bukit, Alor Setar pada 2.30 petang tadi (waktu Malaysia).

Najib berkata, beliau dimaklumkan mengenai kemangkatan Sultan Abdul Halim ketika dalam penerbangan ke Washington.

“Saya menerima berita kemangkatan Almarhum Tuanku dengan penuh rasa sedih dan dukacita, Almarhum Tuanku mempunyai hubungan yang begitu akrab dengan saya lagi mesra ketika Almarhum Tuanku menjadi Yang di-Pertuan Agong Ke-14,” kata beliau. – BERNAMA