Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia, Pembangunan Belia dan Sukan Negeri, Kerk Chee Yee berkata, lebih lima ribu penduduk di kawasan Parlimen Hang Tuah Jaya bakal menikmati jalan baharu yang lebih selesa di kawasan itu nanti.

“Kerajaan negeri telah melakukan beberapa perbincangan dengan pihak pemaju berikutan aduan yang diterima daripada penduduk berhubung keadaan jalan itu yang kurang selamat untuk digunakan.

“Penaiktarafan jalan berkenaan penting berikutan jalan itu telah menjadi laluan utama penduduk dari Kampung Tun Razak, Bukit Katil, Duyong dan kawasan sekitar sini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas membuat tinjauan di kawasan tersebut bersama beberapa penduduk dan pihak pemaju yang merupakan syarikat swasta, PDG Group Of Companies di sini sebentar tadi.

Yang turut hadir, Pengarah Urusan PDG Group Of Companies, Datuk Seri Gwee Yew Kiat dan Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Tun Razak, Muhammad Raflee Uda.

Sementara itu, menurutnya, laluan kira-kira tiga kilometer itu akan dinaik taraf oleh PDG Group Of Companies dengan kos hampir 10 juta ringgit.

“Ekoran perbincangan berhubung mencari penyelesaian terhadap masalah ini, pihak PDG Group Of Companies bukan sahaja bersetuju untuk membaiki jalan itu malah membesarkannya daripada dua kepada empat lorong,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE