Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, pelaksanaan projek yang bertujuan menyediakan infrastruktur untuk menghubungkan jambatan Pulau Bunting ke PLUS melalui Jalan Persekutuan 1 di Yan berjalan lancar mengikut jadual.

Menurutnya, projek bernilai RM225.9 juta itu terbahagi kepada dua segmen yang melibatkan pembinaan jalan sambungan dengan jarak 18.2 kilometer.

“Segmen pertama melibatkan pembinaan jalan baharu dari Jambatan Pulau Bunting ke Jalan Persekutuan sejauh 14.9 kilometer... untuk kerja-kerja segmen pertama ini siap 80 peratus.

“Sementara segmen kedua bagi kerja menaiktaraf jalan persimpangan Jalan Persekutuan hingga ke persimpangan Jalan Gurun - Jeniang/Jalan Guar Nenas melibatkan 3.3 kilometer pula siap 60 peratus,” katanya selepas program Taklimat Projek Sambungan PLUS ke Pulau Bunting sempena Jelajah FT Roadpedia di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE