Bagi merealisasikan hasrat berkenaan, LHDN diwakili oleh tiga peserta yang diketuai Pengarah Bahagian Keselamatannya, Superintenden Eyu Leong Boon dan dua anak buahnya iaitu Muhammad Nazmi Mohammad Norrizal dan Sarjan Rogayah Ali.

Aktiviti jalan kaki yang mendapat sokongan penuh warga lembaga itu bermula di LHDN Cawangan Ipoh dan dijangka mengambil masa selama 33 hari sehingga 15 Mei ini.

Pengarah Jabatan Khidmat Korporat LHDN, Rozina Shaik Osman Merican berkata, pi­haknya juga akan menjalankan program tanggungjawab sosial di beberapa lokasi terpilih yang bakal disinggahi oleh peserta jalan kaki itu.

“Berdasarkan maklumat MBOR, rekod jalan kaki paling jauh­ dipegang oleh Biro Tatanegara pa­da 2003 iaitu sejauh 1,329.8 kilometer.

“Oleh itu, bagi memecahkan rekod yang telah dicipta, MBOR menetapkan bahawa peserta jalan kaki LHDN perlu mencapai jarak minimum 1,595.76 kilo­meter iaitu 20 peratus melebihi rekod sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan program jalan kaki tersebut yang turut diha­diri Pengarah Jabatan Operasi Cukai LHDN, Mohammed Noor Ahmad dan Pengarah LHDN Perak, Roszamman Md. Nawi.

Tambah Rozina, bermula da­ri LHDN Cawangan Ipoh, peserta jalan kaki tersebut akan menuju ke Bukit Mertajam, Pulau Pinang dan singgah di beberapa tempat termasuk Pusat Khidmat Hasil Kulim, Kedah; Kuala Terengganu, Johor Bahru dan Melaka sebelum menamatkan perjalanan di Menara Hasil di Cyberjaya.