Timbalan Menteri Kerja Raya, Mohd. Anuar Tahir berkata, pada masa ini, Jabatan Kerja Raya (JKR) masih melakukan pemantauan berterusan di jalan raya khususnya di kawasan bercerun di Cameron Highlands.

“Apa yang berlaku dan kebimbangan di jalan dan cerun sepanjang Cameron Highlands itu adalah satu perkara yang benar dan saya pun tahu kerajaan negeri pun sudah memberhentikan permit kebenaran membangunkan kawasan di sekitar tanah tinggi itu.

“Di kementerian, kita sudah mengarahkan Pengarah Jabatan Kerja Raya Pahang bersiap siaga memerhatikan keadaan cerun dan sebarang perkara yang boleh menyebabkan tanah runtuh perlu diambil tindakan segera,” katanya dalam sidang akhbar pada program Ziarah Kasih Kami Anak Felda (KAF) di Felda Lakum di sini, hari ini.

Hari ini, Utusan Malaysia melaporkan saranan Pakar Geo­logi dan Kejuruteraan Tanah Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Ir. Dr. Ramli Nazir supaya pihak berkuasa mengubah laluan bagi pengguna yang menuju ke Pantai Timur menerusi Cameron Highlands ke jalan lebih selamat sehingga musim hujan reda.

Dalam pada itu, Mohd. Anuar berkata, kerajaan memandang berat isu keselamatan jalan raya di tanah tinggi itu dan pihaknya telah mela­kukan pemantauan secara berterusan di kawasan situ.

Katanya, pihaknya bersedia menutup atau mengubah laluan jalan raya di tanah tinggi itu sekiranya didapati berisiko keselamatan kepada pengguna jalan raya.

Sementara itu, beliau meminta kerajaan negeri segera melakukan penguatkuasaan yang tegas terhadap mana-mana pihak atau individu yang melakukan penerokaan haram di tanah tinggi itu.