Ketua Pengarah Jakoa, Datuk Ajis Sitin malah berjanji akan terus memberikan komitmen tinggi demi memastikan pembangunan dan kebajikan masyarakat Orang Asli seluruh negara sentiasa diberikan perhatian.

Kata beliau, selain pembangunan fizikal, Jakoa sebagai jabatan yang bertanggungjawab dalam merancang dan menguruskan kesejahteraan Orang Asli juga mengambil kira nilai-nilai murni kebudayaan, kepercayaan, gaya hidup dan adat resam masyarakat itu.

“Institusi Tok Batin adalah pentadbiran sesebuah kampung yang berbentuk hierarki yang diwarisi sejak zaman dahulu lagi dengan pelantikan dibuat melalui keturunan. Tok Batin pula bertanggungjawab terhadap isu-isu kebudayaan dan adat resam sahaja.

“Pada masa kini, fungsi Tok Batin adalah lebih meluas iaitu turut meliputi perkara-perkara berkaitan pembangunan, ekonomi, pendidikan, kesihatan dan sebagainya,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Semalam, Ahli Dewan Negara, Senator Bob Manolan Mohamad mencetuskan kontroversi apabila dilaporkan memberi amaran kepada Tok Batin supaya menyokong calon Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands 26 Januari ini atau berdepan risiko kehilangan jawatan.

Jelas Bob Manolan seperti dipetik portal Malaysiakini, pemimpin masyarakat Orang Asli dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) perlu menyokong agenda kerajaan kerana PH hanya mahukan ketua-ketua kampung yang boleh memberikan kerjasama demi kebaikan Orang Asli.

Namun begitu, Bob Manolan selepas itu tampil membela diri dengan menafikan membuat kenyataan sedemikian sebaliknya menuding jari menyalahkan laporan Malaysiakini berkenaan perkara itu.

Tambah Ajis, selain Tok Batin, sesebuah perkampungan Orang Asli turut diuruskan MPKK dengan ahli majlis itu dilantik secara undian oleh penduduk tanpa mengira latar belakang politik menerusi tatacara ketat.

“Ahli MPKK dipilih secara undian setiap dua tahun di mana majlis ini menjadi ranting kepada pentadbiran Jakoa di peringkat kampung. Kedua-dua institusi ini iaitu Tok Batin dan MPKK merupakan inisiatif Kerajaan Persekutuan ke arah pengurusan pembangunan manusia yang lebih berkesan,” ujar beliau. - UTUSAN ONLINE