Ketua Pengarahnya, Mohd. Jamalludin Kasbi berkata, umum mengetahui mendidik masyarakat Orang Asli di kawasan pedalaman amat memerlukan dedikasi dan sema­ngat yang amat tinggi dan kisah cikgu Saidin merupakan sebahagian daripada pengorbanan guru yang wajar dihargai semua pihak.

“Bagi pihak masyarakat Orang Asli, saya ingin me­nyampaikan ucapan terima kasih kepada seluruh guru yang telah mendidik pelajar-pelajar Orang Asli khususnya Cikgu Saidin dan guru-guru di SK Lenjang yang gigih dan penuh dedikasi mengharu­ngi kesukaran demi mencurahkan ilmu untuk anak murid mereka.

“Sememangnya kegigihan Cikgu Saidin itu merupakan sesuatu yang cukup murni dan tidak semua orang mampu me­lakukannya. JAKOA amat berbangga dan ingin mengambil ke­sempatan untuk berpesan kepada semua pelajar Orang Asli supaya mencapai kecemerlangan dalam pendidikan agar dapat membayar semula segala pengorbanan yang telah dicurahkan oleh guru-guru kamu,” katanya dalam sidang akhbar di pejabatnya di sini hari ini.

Kisah Cikgu Saidin yang terpaksa menempuh jalan berbukit, berlubang dan berlumpur untuk berulang alik menggunakan motosikal dari rumahnya di Sungai Koyan ke SK Lenjang turut tular di media-media sosial sehingga mendapat reaksi dari pelbagai pihak.

Meskipun jarak SK Lenjang hanya kira-kira 35 kilometer tetapi tempoh perjalanan untuk sampai ke situ mengambil masa hampir tiga jam ekoran kea­daan jalan yang teruk. Kea­daan itu menyebabkan kebanyakan guru memilih untuk menunggang motosikal dan sebahagian lagi menggunakan kenderaan pa­cuan empat roda untuk ke sekolah tersebut.

Tambah Mohd. Jamalludin, jalan yang ada sepanjang 30 kilometer telah dibina menerusi peruntukan Kementerian Pemba­ngunan Luar Bandar dan Wilayah dan pada tahun lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah meluluskan pembinaan jalan baru iaitu Jalan Pos Betau-Pos Lenjang yang bernilai RM15 juta.

Katanya, projek tersebut akan dilaksanakan di bawah Program Jiwa Murni Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan kerja-kerja pembinaa dijangka bermula pada Julai ini.

“JAKOA amat mengalu-alukan projek tersebut kerana ia bukan sahaja akan memudahkan guru SK Lenjang untuk berulang alik tetapi juga memudahkan perjalanan guru di SK Titom yang terletak lebih jauh.

“Dengan adanya jalan yang lebih baik nanti, tentunya tempoh perjalanan ke kedua-dua buah sekolah itu akan lebih singkat dan mudah.

“Malah jalan itu nanti akan memudahkan pihak JAKOA meng­hantar pelajar-pelajar Orang Asli dari Pos Lenjang ke sekolah menengah yang terletak berhampiran seperti di Sungai Koyan,” katanya.